Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Hari Kanak-kanak Sedunia merupakan peluang bagi semua untuk memperjuangkan hak-hak kanak-kanak seperti keselamatan, pendidikan, kesihatan, perlindungan dan bermain, di samping meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang dihadapi oleh kanak-kanak di sekeliling kita dan juga di seluruh dunia.
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad mengongsikan perkara itu dalam perutusan hari ini, sempena Hari Kanak-kanak Sedunia 2024.
Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia tahun ini adalah sambutan yang ke-18 di Negara Brunei Darussalam dengan tema Setiap Kanak-kanak Punya Hak.
Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) menekankan keperluan mustahak untuk memastikan kepentingan terbaik kanak-kanak dalam semua keputusan yang mempengaruhi mereka, melindungi mereka daripada penyalahgunaan dan eksploitasi serta mempromosikan penyertaan mereka dalam urusan masyarakat.
Acara kemuncak sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia ke-18 ialah Voices of Children: Bengkel bertajuk Memperkasa Kanak-kanak untuk Mengambil Bahagian: Hak Kanak-kanak dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang akan diadakan pada 25 November.
Acara ini antara lain bertujuan mendidik para pelajar sekolah berumur 17 tahun ke bawah termasuk kanak-kanak kelainan upaya tentang hak mereka, SDG, memberi inspirasi untuk berempati, menggalakkan advokasi dan tindakan, memupuk kerjasama dan kreativiti serta meraikan kejayaan untuk memacu perubahan bermakna.
Usaha bagi melindungi hak kanak-kanak
Yang Berhormat Dato dalam perutusannya, menjelaskan antara usaha negara dalam melindungi hak kanak-kanak ialah melalui Pelan Tindakan Kesejahteraan Kanak-kanak di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS).
Pelan tindakan ini menggariskan strategi dan langkah-langkah yang diperlukan untuk mencapai matlamat bagi memastikan kesejahteraan dan kebajikan kanak-kanak terus dipeduli dengan adanya kerjasama dan komitmen bersepadu semua agensi-agensi yang berkepentingan melalui pendekatan whole of nation daripada pihak kerajaan, bukan kerajaan dan masyarakat akar umbi, melalui pengukuhan keluarga masing-masing.
Antara yang terpenting ialah Komiti Penjagaan Kanak-kanak (KPK) dari pelbagai agensi penguatkuasaan bagi membincangkan kes-kes kanak-kanak yang memerlukan pelindungan segera.
Pasukan Bertindak bagi Perlindungan Kanak-kanak (ATOCP) mempunyai bidang kuasa bagi membangun dan mengenal pasti pelan-pelan perlindungan kanak-kanak bagi kes kanak-kanak yang telah dibincangkan dalam Komiti Perlindungan Kanak-kanak.
Usaha berterusan
Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), katanya, juga meningkatkan usaha dalam mengukuhkan prosedur operasi standard (SOP) dengan menambah baik Garis Pandu Pusat Penjagaan Kanak-kanak agar tahap penjagaan kanak-kanak berkualiti dan keselamatan kanak-kanak kekal terjamin.
Selain itu, usaha berterusan juga dilaksanakan bagi meningkatkan pembangunan kapasiti dan sokongan untuk pekerja agensi penguat kuasa penjagaan kanak-kanak.
Ini termasuk pelbagai kursus yang melibatkan pegawai kerja sosial, pegawai sosial perubatan dan pegawai pembangunan masyarakat.
Antara kursus yang diadakan ialah kursus SSI dengan kerjasama Singapore National Council of Social Service (NCSS), di mana pegawai dilatih dalam perancangan dan amalan keselamatan kanak-kanak.
Pencapaian yang diraih
Dari segi pencapaian pula, beliau berkata prestasi kanak-kanak dan orang muda di negara ini juga sangat membanggakan dalam banyak aspek seperti bermain dan bersukan.
Tahun ini sahaja, anak-anak muda telah meraih pelbagai pingat di beberapa pertandingan antarabangsa seperti Pertandingan Judo Jemputan Little Warriors 2024, Kejohanan Wusyu Junior Dunia yang ke-9 dan Pertandingan SUKMA ke-21.
Selain itu, negara juga berbangga dengan penampilan dua atlet berumur 16 dan 17 tahun, di Sukan Olimpik Paris tahun ini.
Program pendidikan dan kesedaran
Antara program yang telah dilaksanakan dan berhubung kait dengan tema Hari Kanak-kanak Sedunia tahun ini adalah Program Bootcamp oleh Jabatan Pendidikan Khas untuk pelajar berkeperluan khas.
Program ini antara lain bertujuan mendidik pelajar mengenai keusahawanan dan inovasi serta memberi mereka peluang untuk menunjukkan kebolehan dan kreativiti dalam menghasilkan produk serta memupuk pemikiran keusahawanan agar pelajar dapat berdikari dalam pekerjaan.
JAPEM juga mengadakan banyak ceramah kesedaran melalui Program GINIS ke sekolah-sekolah yang bertujuan mendidik kanak-kanak tentang hak mereka dan cara melindungi diri mereka daripada potensi bahaya.
Manakala Jabatan Sekolah-sekolah juga menjalankan Program Sekolah Hibrid yang bermatlamat meningkatkan status pembelajaran dan akses murid-murid kepada pendidikan bagi dua buah sekolah pendalaman di Seria iaitu Sekolah Rendah DMS Sukang dan Sekolah Rendah Melilas.
Yang Berhormat Dato juga mengongsikan kanak-kanak di negara ini juga didedahkan dengan pelbagai latihan dan penyertaan pembangunan diri, sama ada di dalam dan luar negara.
Pada Ogos lalu, beberapa orang pelajar termasuk kanak-kanak OKU berkesempatan menyertai The 8th ASEAN Children’s Forum 2024, sebuah platform bagi kanak-kanak ASEAN untuk berkongsi pandangan dan idea mengenai isu-isu semasa.
Janganlah kita lupa juga tentang cabaran yang dihadapi oleh saudara kita di Palestin, di mana konflik yang berterusan telah memberi kesan buruk kepada kehidupan kanak-kanak yang tidak terhitung jumlahnya, menafikan mereka banyak hak yang sepatutnya dilindungi dan dijaga,” kata Yang Berhormat Dato.
Kita bolehlah menghulur bantuan kepada kanak-kanak Palestin dan menolong melindungi hak mereka dengan menderma ke Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 yang telah dilanjutkan tempoh kutipan sehingga 18 April 2025.
Dengan iringan doa serta seruan bagi seluruh masyarakat untuk memeduli dan menyayangi kanak-kanak kita, sukacita saya mengucapkan ‘Selamat Hari Kanak-kanak Sedunia’ kepada semua kanak-kanak di Negara Brunei Darussalam.”