Friday, December 27, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama perkasa keperluan warga emas

    Oleh Yusrin Junaidi –

    Warga emas merupakan aset yang sungguh bernilai kepada negara kerana golongan ini memiliki ilmu, pengetahuan dan kepakaran yang berharga.

    Tidak dinafikan bahawa kesejahteraan hidup dan pembangunan yang kita nikmati pada masa ini adalah juga daripada hasil titik peluh generasi terdahulu yang kini menjadi warga emas.

    Oleh itu, semua warga emas wajar dihormati, dihargai, diberi perhatian serta hak dan keperluan mereka perlu dijaga demi memastikan kelangsungan kualiti kehidupan mereka yang lebih bermakna.

    Sementara itu, kadar penuaan di Negara Brunei Darussalam semakin meningkat dan semua peringkat masyarakat harus memahami peranan untuk menghadapi senario negara tua bermula dari sekarang.

    Oleh yang demikian, dalam persiapan negara ke arah menghadapi fenomena Penuaan Penduduk, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah melaksanakan langkah-langkah strategik dengan mengutamakan hal ehwal kebajikan, kesejahteraan dan kepentingan warga emas.

    Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan dan Yang Dimuliakan Pehin Kapitan Lela Diraja Dato Paduka Goh King Chin sama-sama hadir memperingati Sambutan Ulang Tahun Penubuhan PKWE Daerah Tutong ke-6, baru-baru ini. – Gambar oleh Nurdiyanah R
    Gambar ramai semasa Majlis Khatam Al-Quran di bawah Program Tilawah Wal Istima buat kali ketiga di Dewan Serba guna PKWE Daerah Tutong pada 16 Ogos. – Gambar serahan PKWE Daerah Tutong
    Ahli rombongan PKWE Daerah Tutong yang menyertai pengembaraan ke Sabah bergambar ramai baru-baru ini. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Perkara ini dinyatakan dalam perutusan yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad.

    Menurut Yang Berhormat Dato, Negara Brunei Darussalam bersama negara-negara ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyambut Hari Antarabangsa Warga Emas (HAWE) pada setiap 1 Oktober. Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Memenuhi Janji Deklarasi Hak Asasi Manusia untuk Warga Emas: Merentas Generasi’.

    Dalam memastikan tiada ketirisan dalam kalangan masyarakat yang memerlukan bantuan termasuk warga emas yang kurang bernasib baik, khususnya warga emas yang berkeadaan uzur menurut garis panduan yang ditetapkan, bantuan barangan seperti lampin pakai buang dan susu terus diungkayahkan secara langsung kepada 130 orang penerima setiap bulan oleh Jabatan Pembangunan Masyarakat.

    Penyerahan bantuan ini dihantar ke kediaman mereka masing-masing setiap bulan secara serentak di keempat-empat daerah untuk juga terus memantau keadaan kehidupan warga emas dan seterusnya menangani keperluan mereka bersama ahli keluarga.

    Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah juga turut menyumbangkan bantuan barangan kepada lebih 70 warga emas.

    Menurut perangkaan (setakat September 2023), sejumlah 41,748 orang warga emas pada masa ini menerima Pencen Umur Tua, dan daripada jumlah ini, sebanyak 654 orang warga emas juga menerima faedah satu lagi iaitu Elaun Kurang Upaya.

    Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama rakan-rakan strategik dan para sukarelawan akan terus memastikan bantuan dan keperluan-keperluan akan terus disalurkan untuk memastikan kualiti kehidupan warga emas terus terjamin.

    Yang Berhormat Dato juga ingin mengambil kesempatan untuk menyeru pihak swasta, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat, badan-badan sukarelawan, belia dan individu-individu supaya tampil ke hadapan dan terus memberikan sumbangan khidmat masyarakat dan kepakaran serta menjalankan aktiviti secara bersama kepada komuniti warga emas di negara ini.

    Fokus tema tahun ini adalah mengutamakan tanggungjawab sosial dalam memastikan penjagaan kesihatan dan kebajikan warga emas.

    Ini adalah untuk memastikan warga emas di negara ini akan sentiasa dipeduli dan tidak tercicir daripada sokongan jaminan sosial melalui penyediaan pelbagai perkhidmatan warga emas yang menyeluruh, holistik dan secara senegara.

    Sehubungan itu, Pelan Tindakan Warga Emas bagi tahun 2023-2027 di bawah Majlis Kebangsaan Isu Sosial (MKIS) telah selesai direbiu melalui kerjasama sepadu antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS).

    Pelan Tindakan Warga Emas ini adalah bukti manifestasi komitmen Kerajaan dalam memfokuskan ke arah strategi Penuaan yang Berjaya secara menyeluruh, mengambil kira aspek perundangan, penjagaan jangka masa panjang warga emas, bandar mesra usia serta program-program pemerkasaan dan pembangunan warga emas secara inklusif.

    Negara Brunei Darussalam juga turut berbangga kerana Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) Daerah Tutong telah tersenarai dalam Pangkalan Data Global Amalan Mesra Umur serta mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)
    sebagai salah sebuah pusat dan negara yang melaksanakan ‘Amalan Mesra Umur’.

    Pusat ini merangka program dan aktiviti bercorak keagamaan, sosial dan pembangunan yang membolehkan warga emas meningkatkan kualiti hidup yang produktif dan berdikari.

    Pencapaian ini adalah atas usaha ahli-ahli pusat ini sendiri dan dengan sokongan serta kerjasama strategik pelbagai agensi, telah berjaya menaikkan nama warga emas di Negara
    Brunei Darussalam di persada antarabangsa dalam mendukung serta mempromosi pembangunan warga emas.

    Pada bulan ini Negara Brunei Darussalam, melalui Persatuan Demensia Brunei dengan kerjasama Kementerian Kesihatan dan KKBS, akan menjadi tuan rumah bagi Persidangan Serantau Antarabangsa Asia-Pasifik Penyakit Alzheimer buat pertama kalinya.

    Ini akan mendukung usaha untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti kehidupan golongan warga emas secara lebih holistik.

    Bersempena HAWE 2023, Yang Berhormat Dato menyeru orang ramai supaya sama-sama memperkukuhkan semangat dan tekad sebagai satu negara untuk mencapai kualiti hidup tinggi bagi golongan warga emas, khususnya dalam merancang dan melaksanakan
    inisiatif dalam bidang-bidang berkepentingan termasuk sektor sosial, ekonomi dan budaya demi manfaat golongan warga emas yang sangat wajar untuk dijaga, dipeduli dan diberikan penghormatan.

    Yang Berhormat Dato juga mengajak orang ramai supaya sama-sama berganding bahu dan berusaha dalam menghargai pengorbanan dan sumbangan permata negara ini.

    Setentunya, warga emas adalah tidak terbanding nilainya dalam memastikan kesejahteraan keluarga, yang akan menyumbang ke arah peningkatan sosial, kemajuan ekonomi, kemakmuran negara, dan ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda