Khamis, November 20, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama pupuk budaya pencegahan penyakit kardiovaskular

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Penyakit kardiovaskular termasuk penyakit jantung dan strok kekal dikenal pasti sebagai punca utama kematian di seluruh dunia.

    Menurut Persekutuan Jantung Sedunia, lebih 20 juta kematian setiap tahun berpunca daripada penyakit kardiovaskular, seperti serangan jantung, strok dan kegagalan jantung yang sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh kematian pra-matang iaitu kematian sebelum umur 70 tahun.

    Di Negara Brunei Darussalam, penyakit kardiovaskular juga merupakan salah satu penyebab utama kematian. Pada tahun 2024, sebanyak 572 kematian telah dilaporkan akibat penyakit itu termasuk 313 kematian pra-matang, menunjukkan peningkatan sebanyak 5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

    “Jika trend ini tidak ditangani, ianya boleh membawa kepada penurunan jangka hayat dan kehilangan pendapatan keluarga serta tekanan terhadap perkhidmatan sosial di samping membawa kesan kepada produktiviti kerja dan sumbangan kepada ekonomi negara.”

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusannya sempena Sambutan Hari Jantung Sedunia 2025.

    Antara suasana semasa Sambutan Hari Jantung Sedunia 2025. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

    Sambutan Hari Jantung Sedunia 2025 yang jatuh pada 29 September, dengan tema Jangan Terlepas Degupan, memperingati kita untuk sentiasa peka terhadap kesihatan jantung, bukan hanya apabila mengalami rasa sakit atau ketidakselesaan tetapi secara berterusan melalui pilihan gaya hidup yang sihat, pembentukan tingkah laku yang positif serta perhatian yang berterusan terhadap kesejahteraan diri.

    Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato menekankan beberapa perkara utama untuk diambil perhatian oleh semua iaitu pengesanan awal di mana setiap individu perlu mengambil langkah proaktif dalam menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala untuk mengesan faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular seperti obesiti, tekanan darah tinggi, paras kolesterol yang tinggi dan diabetes.

    Selain itu, perlu juga mengamalkan gaya hidup sihat termasuk pengambilan makanan sihat dan seimbang, mengurangkan makanan tinggi garam dan lemak, melakukan kegiatan fizikal secara berterusan, mendapatkan rehat dan tidur yang mencukupi dan berkualiti bagi mengurangkan tekanan dan mengelakkan pendedahan kepada asap rokok tembakau serta kesedaran diri dengan mengetahui ciri-ciri jantung yang sihat seperti mempunyai tekanan darah, degupan jantung dan paras kolesterol yang normal serta berfungsi dengan baik adalah penting.

    “Ini termasuk mengenali gejala-gejala penyakit jantung seperti sesak nafas, pening atau sakit dada serta mengetahui bila perlu mendapatkan rawatan segera.”

    Yang Berhormat Dato menyatakan dalam menangani penyakit kardiovaskular, Kementerian Kesihatan terus komited dalam memperkukuhkan strategi pencegahan termasuk menetapkan sasaran yang jelas dan langkah-langkah berkaitan bagi mengurangkan kematian pra-matang akibat penyakit kardiovaskular dan penyakit tidak berjangkit yang lain sepertimana yang digariskan dalam Brunei Darussalam Multisectoral Action Plan for the Prevention and Control of Non-Communicable Diseases (BruMAP-NCD) 2021-2025, menyediakan prasarana dan perkhidmatan yang cukup komprehensif, saksama, mudah diakses dan berkualiti melalui pusat-pusat kesihatan dan hospital di keempat-empat daerah.

    Ia juga termasuk penubuhan Perkhidmatan Klinik Warfarin Sehenti melalui pelaksanaan perkhidmatan INR Point of Care (POC), di mana pesakit dapat memperoleh keputusan ujian darah serta-merta, berjumpa pakar perubatan untuk mendapatkan nasihat dan mengambil ubat di satu lokasi.

    “Pendekatan ini bukan sahaja memudahkan dan mengurangkan masa rawatan pesakit yang mengambil warfarin, malah turut meningkatkan kepatuhan terhadap rawatan serta menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan pesakit secara menyeluruh.”

    Selain itu, sistem pemantauan dan pangkalan data yang lebih tepat juga telah diwujudkan bagi perkhidmatan berkaitan penyakit kardiovaskular dan faktor-faktor risikonya melalui kerjasama dengan EVYD Technology Sdn Bhd dan memanfaatkan teknologi digital dengan mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan dan promosi kesihatan berkaitan penjagaan jantung ke dalam aplikasi BruHealth, termasuk Program Saringan Kesihatan Kebangsaan, Kempen Kejohanan BN on The Move dan Indeks Kesihatan yang membantu orang ramai menilai status kesihatan masing-masing serta pengesanan awal penyakit dan faktor-faktor risiko penyakit kardiovaskular seperti merokok.

    Yang Berhormat Dato menyeru semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama memperkukuhkan usaha pencegahan dan pengawalan penyakit kardiovaskular.

    “Marilah kita jadikan Hari Jantung Sedunia 2025 ini sebagai titik tolak untuk memperbaharui komitmen terhadap penjagaan kesihatan jantung dengan secara proaktif mengamalkan gaya hidup sihat, menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala dan memberikan sokongan kepada mereka yang berisiko.

    “Dengan kerjasama padu, kita boleh memupuk budaya pencegahan dan memastikan setiap degupan jantung kita adalah ke arah kehidupan yang lebih sihat, sejahtera dan berkualiti.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda