Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama raih keberkatan Ramadan

    Oleh Yusrin Junaidi, Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MEI – Majlis keagamaan sempena Sambutan Nuzul Al-Quran terus diadakan oleh pelbagai pihak di negara ini bagi sama-sama meraih keberkatan lebih-lebih lagi ketika berada di bulan Ramadan yang penuh mubarak ini.

    Pagi tadi, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah mengadakan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran yang turut diselajurkan dengan majlis penyampaian derma kepada anak-anak yatim kementerian berkenaan serta jabatan-jabatan di bawahnya bagi Tahun 1442H / 2021M di Dewan Setia Pahlawan KSSUP.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

    Majlis tersebut dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan dikuti dengan ceramah khas bertajuk ‘Al-Quran Asas dan Pemangkin Pembangunan Negara’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Pengiran Ahmad Faris Ramadhani bin Pengiran Haji Sellahuddin selaku penceramah undangan dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Majlis kemudian diteruskan dengan acara penyampaian derma kepada anak-anak yatim seramai 56 orang yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dan diakhiri dengan bacaan Doa Selamat.

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada majlis yang diadakan di Surau Asy-Syuhada’. – Gambar serahan Kementerian Pertahanan
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali hadir bersama tetamu lain pada majlis yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan KSSUP.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny menyampaikan derma kepada salah seorang anak yatim dalam majlis berkenaan.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bersama para jemputan lain semasa majlis yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Sementara itu, di Surau Asy-Syuhada’, Akademi Pertahanan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Kementerian Pertahanan dan ABDB turut mengadakan majlis serupa yang juga turut diselajurkan dengan penyerahan derma kepada anak-anak yatim dan bantuan ihsan kepada golongan-golongan yang tertentu Kementerian Pertahanan.

    Hadir di majlis tersebut ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

    Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon selaku penghulu Mukim Berakas B; Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Hamzah bin Haji Sahat; setiausaha tetap Kementerian Pertahanan, pemerintah-pemerintah angkatan tentera, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pemangku ketua kampung Tanah Jambu dan Kampung Salar, pegawai dan kakitangan Kementerian Pertahanan dan ABDB.

    Majlis juga diisikan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh Penolong Kaunselor Penjara di Jabatan Penjara, Awang Fariszal bin Ali yang bertajuk ‘Al-Quran Asas dan Pemangkin Pembangunan Negara’.

    Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian derma kepada 77 orang anak-anak yatim serta 26 orang penerima bantuan ihsan bagi membantu meringankan beban perbelanjaan mereka untuk melaksanakan kewajipan dalam bulan Ramadhan dan membantu dalam persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tiba tidak lama lagi.

    Manakala itu, Sambutan Nuzul Al-Quran turut diadakan oleh Kementerian Tenaga, jabatan-jabatan dan badan berkanunnya di Dewan Teater Utama, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Tenaga, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mat Suny bin Haji Mohd Hussein.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Setiausaha Tetap, Haji Azhar bin Haji Yahya; Timbalan Setiausaha Tetap, Pengiran Haji Jamra Weira bin Pengiran Haji Petra; pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Tenaga, Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Autoriti Petroleum Negara Brunei Darussalam.

    Acara dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Imam dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Ahmad bin Haji Abdul Razak, diikuti dengan ceramah khas bertajuk ‘Muhasabah Ramadan’ yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Dayang Hanisah binti Othman.

    Di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya juga turut mengadakan acara seumpamanya hari ini.

    Hadir di majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Awang Mohammad Yusof.

    Majlis yang turut diselajurkan dengan khatam Al-Quran dan penyampaian derma kepada 28 orang anak-anak yatim itu pada tahun ini dikelolakan bersama oleh Jabatan Pengangkutan Darat dan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Majlis dimulakan dengan bacaan surah-surah khatam dan Takhtim yang dipimpin oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Haji Mohd Ashraf bin Haji Bujang.

    Majlis juga diserikan dengan ceramah khas sempena Sambutan Nuzul Al-Quran 1442 Hijrah bertajuk ‘Al-Quran Asas dan Pemangkin Pembangunan Negara’ yang disampaikan oleh Pengarah Pusat Perhubungan Awam dan Antarabangsa, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Haji Samali bin Haji Adam.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda