Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Sempena ulang tahun Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) ke-60, lebih 620 peserta bersama-sama meraikan gaya hidup yang sihat dengan mengambil bahagian dalam acara Walkaton Keluarga ISB yang berlangsung di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Acara walkaton yang disokong oleh Pusat Promosi Kesihatan dan BN on the Move, dihadiri dan disertai bersama oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah ISB termasuk Timbalan Pengerusi Lembaga, Nicholas King, Jorge Francisco Vega dan Wong Chin Toon serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengetua Eksekutif ISB, Dominic Morley dan Pengurus Besar ISB, Vienna Law.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dominic Morley mengalu-alukan kehadiran para peserta dalam Acara Walkaton Keluarga ISB yang pertama kali diadakan bersempena ulang tahun ISB ke-60.
Beliau menyatakan keterujaan atas kehadiran semua peserta dalam acara yang istimewa di mana ia meraikan semangat kemasyarakatan dan kesihatan pada tahun baru ini.
Majlis menyaksikan para peserta termasuk komuniti ISB, keluarga, rakan-rakan dan alumni bersama-sama mengambil bahagian dalam sesi memanaskan badan.
Acara diteruskan dengan penyampaian sijil kehormat The Brunei Book of Records kepada ISB yang mengiktirafnya sebagai sekolah antarabangsa Brunei pertama dan paling lama diiktiraf di mana sijil disampaikan oleh wakil daripada The Brunei Book of Records kepada Dominic Morley.
Para peserta seterusnya mengambil tempat masing-masing di kawasan permulaan bagi acara walkaton yang dibahagikan kepada dua kategori iaitu 5km dan 2.5km dengan acara dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.
Beliau turut mengambil bahagian dalam acara walkaton 2.5km yang bermula dan berakhir di Taman Mahkota Jubli Emas, Bandar Seri Begawan.
Para peserta yang berjaya menamatkan walkaton berkenaan telah diberikan pingat masing-masing di garisan penamat.
Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah cabutan bertuah kepada para peserta.
Walkaton Keluarga ISB diadakan bagi memperingati ulang tahun ISB ke-60 di mana ia meraikan 60 tahun kecemerlangan akademik inklusif sejak sekolah berkenaan ditubuhkan pada 1964.