Sunday, March 16, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama raikan Jubli Emas

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Okt – Acara kemuncak Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta iaitu Istiadat Perbarisan Kawalan Kehormatan, Majlis Istiadat Mengadap dan Istiadat Perarakan Mengelilingi Bandar Seri Begawan akan diadakan pada 5 Oktober nanti, bakal menyaksikan hampir 40,000 orang pegawai dan kakitangan kerajaan, pelajar, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, pergerakan belia serta badan-badan berkanun dan syarikat-syarikat milik kerajaan beratur sepanjang laluan perarakan itu nanti.

    Di samping itu, dianggarkan lebih 45,000 orang lagi yang terdiri orang ramai iaitu rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam serta pelancong ke Brunei akan sama-sama turun untuk memeriahkan dan menyaksikan acara penuh gilang-gemilang serta bersejarah itu nanti.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Sektoral Perarakan Jubli Emas Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta.

    Acara bersejarah itu nanti juga akan menyaksikan persembahan kebudayaan daripada pelbagai pihak seperti persembahan gulingtangan, tausyeh, koir dan persembahan kebudayaan daripada peserta Daerah Tutong, Belait dan Temburong turut mewarnai serta memeriahkan acara sambutan, jelas beliau lagi semasa Sidang Media bagi Sambutan Jubli Emas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Menaiki Takhta yang berlangsung di Bangunan Jabatan Perdana Menteri, Jalan Perdana Menteri, baru-baru ini.

    Yang Berhormat Pehin turut menyatakan bagi memudahkan dan keselesaan orang ramai beberapa buah kem surau dan tandas dibina supaya membolehkan orang ramai hadir bersama-sama memeriahkan lagi acara berkenaan.

    Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi memberikan penerangan mengenai majlis yang akan berlangsung pada 5 Oktober kelak.

    Sementara itu, Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat, selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Perarakan Jubli Emas, dalam sidang media berkenaan menyatakan bahawa bagi memudahkan segenap lapisan rakyat dan penduduk negara untuk sama-sama menyaksikan dan turut serta mencipta peristiwa yang akan menjadi ristaan sejarah itu, semua jalan di Bandar Seri Begawan akan dibuka seperti sedia kala pada hari berkenaan di mana jalan yang akan dikawal selia adalah hanya jalan-jalan yang akan dipakai untuk laluan perarakan sahaja.

    Jalan-jalan yang akan dikawal selia itu nanti ialah Jalan Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Jalan Sultan Omar Ali Saifuddien, Jalan Mc Arthur, Jalan Masjid Omar Ali Saifuddien dan Jalan Stoney.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa berkata lagi bagi kemudahan orang ramai pada 5 Oktober nanti, mereka boleh meletakkan kereta di tempat-tempat letak kereta di kawasan Bandar Seri Begawan termasuk letak kereta bertingkat di Bandar Seri begawan, kawasan letak kereta berhadapan dan belakang Lapau di Jalan Kianggeh, letak kereta di Dermaga Diraja, letak kereta Mahkamah Syariah, letak kereta sebelah RTB, letak kereta Jabatan Elektrik Bandar, letak kereta sebelah TAIB, letak kereta Tamu Kianggeh, letak kereta bertingkat, kawasan lapang dan letak kereta di Pusat Kesenian, letak kereta di Kompleks Bangunan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, kawasan Sekolah Chung Hwa, Taman Jubli, kawasan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien, kawasan Jalan Kianggeh dan Jalan Residency serta kawasan jalan-jalan yang boleh digunakan untuk letak kereta iaitu Jalan Elizabeth 2, Jalan Pemancha, Jalan Roberts, Jalan Cator dan Jalan McArthur.

    Beliau juga berkata, bagi mereka yang tidak mempunyai kenderaan dan yang ingin menggunakan bas awam, bas-bas berkenaan juga akan beroperasi seperti sedia kala.

    Oleh itu, beliau menyeru orang ramai untuk datang beramai-ramai ke Bandar Seri Begawan sebagai tanda meraikan dan mengangkat kedaulatan adat dan pemerintahan negara sambil menyembahkan ketaatsetiaan kepada raja yang dikasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Pada masa yang sama, orang ramai juga digalakkan untuk datang lebih awal ke Bandar Seri Begawan dan berkongsi kenderaan pada hari berkenaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda