Wednesday, March 19, 2025
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama ‘Raja Kesayangan Rakyat’

    Oleh Sim Y. H & Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y.H.

    BANGAR, 27 JULAI – Setelah tidak diadakan tahun lalu bagi membendung penularan pandemik COVID-19, penduduk Daerah Temburong bersama-sama keluar dan berkumpul dari awal pagi lagi dengan penuh semangat perpaduan untuk menjunjung keberangkatan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong.

    Majlis merafakkan junjung kasih serta taat setia itu berlangsung di Padang Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Daerah Temburong, hari ini.

    Berangkat bersama ke majlis itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Daerah Temburong adalah yang kedua setelah Daerah Tutong, sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-75 tahun bagi majlis junjung ziarah bersama-sama rakyat.

    Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat diraja ke Pentas Diraja dijunjung dengan pukulan hadrah serta dijunjung oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong serta Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubarak bin Pengiran Haji Hashim, sebelum lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan dimainkan.

    Baginda Sultan berserta kerabat diraja kemudian dijunjung untuk menyaksikan persembahan padang khas bertemakan ‘Raja Kesayangan Rakyat’ daripada kumpulan-kumpulan belia remaja dan anak-anak remaja yang ceria, bertenaga dan penuh warna-warni yang mengandungi tiga segmen serta melibatkan penyertaan daripada murid-murid dan penuntut-penuntut sekolah, belia dan pasukan beruniform di Daerah Temburong seramai 375 orang.

    Seterusnya, Baginda Sultan berserta kerabat diraja dijunjung berangkat menerima junjung ziarah daripada rakyat dan penduduk Daerah Temburong.

    Pada majlis tersebut, Baginda Sultan berkenan menandatangani plak di petak Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta disembahkan dengan buku bertajuk Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien: Menyatukan Brunei dan Rakyat yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan, JPM dengan kolaborasi Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD).

    Majlis berkenaan merupakan salah satu acara yang amat dinanti-nantikan oleh rakyat dan penduduk daerah berkenaan sebagai peluang untuk beramah-mesra dengan raja dan pemimpin yang amat dikasihi.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah berkenan bergambar ramai pada majlis ramah junjung ziarah di Daerah Temburong. – Gambar oleh Infofoto
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, DYTM Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dan DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan berangkat bercemar duli bagi Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong di Padang Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Temburong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda