Oleh Nurdiyanah R. –
Demam, batuk, sakit tekak, hidung berair, hidung tersumbat, sakit otot, sengal-sengal badan, sakit kepala, lesu dan muntah merupakan antara tanda-tanda apabila seseorang individu dijangkiti penyakit influenza (flu), tidak kira bagi golongan kanak-kanak mahu pun dewasa. Kadangkala, kanak-kanak kecil akan mengalami cirit-birit.
Mengimbas kembali perkongsian dari Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam kepada masyarakat di negara ini menerusi laman sesawang kementerian mahu pun platform media sosial, ia menyatakan bahawa influenza merebak melalui titisan cecair daripada saluran pernafasan semasa orang yang dijangkiti virus tersebut batuk atau bersin.
Titisan cecair itu boleh mencemari tangan dan permukaan persekitaran. Seseorang berisiko dijangkiti apabila berada dalam jarak kurang dari satu meter daripada pesakit yang batuk atau bersin, atau apabila bersentuhan dengan permukaan yang tercemar.
Apakah yang perlu dilakukan jika awda menghidap influenza?
Oleh yang demikian, Kementerian Kesihatan turut menekankan jika sekiranya kita menghidap influenza maka adalah perlu untuk melakukan perkara-perkara berikut iaitu menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin dengan menggunakan tisu. Buang tisu tersebut ke dalam tong sampah dengan segera dan disarankan untuk kerap mengamalkan mencuci tangan menggunakan sabun dan air yang bersih atau pensanitasi tangan.
Begitu juga, seseorang yang menghidap influenza perlu mendapatkan rehat yang mencukupi di rumah dan jarakkan diri daripada individu yang sihat. Selain itu, pesakit influenza perlu mengelak diri daripada berada di tempat tumpuan ramai. Jika tidak dapat dielakkan, gunakanlah pelitup muka.
Pihak kementerian juga menyarankan agar jangan sesekali berkongsi peralatan peribadi seperti sapu tangan dan tuala dengan orang lain. Di samping itu, perlunya kesedaran para pesakit influenza untuk tidak bergantung kepada antibiotik kerana influenza bukan disebabkan oleh bakteria, tetapi virus. Lebih mustahak lagi, pesakit yang menghidap influenza perlu segera mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala yang dialami menjadi semakin teruk.
Tingkat imuniti diri
Dalam menghadapi gelombang influenza ini, adalah penting bagi setiap daripada anggota masyarakat untuk membina ketahanan badan. Tingkatkanlah imuniti diri supaya kita dapat melindungi diri sendiri dan insan-insan tersayang daripada virus tersebut.
Salah satu cara yang dapat kita amalkan ialah dengan memastikan kita mendapat sumber vitamin yang lengkap. Tahukah awda apakah vitamin yang diperlukan tubuh kita agar dapat berfungsi dengan baik bagi mencegah influenza?
Hasil pembacaan penulis di laman-laman sesawang kesihatan, apabila kita kekurangan vitamin C, ia meningkatkan risiko seseorang itu diserang pelbagai penyakit.
Bagaimanapun, cara untuk mendapatkan sumber vitamin C sangat mudah iaitu melalui pengambilan pelbagai sayur-sayuran seperti bayam, cili dan brokoli serta buah-buahan seperti limau dan strawberi.
Dalam pada itu, tubuh badan kita juga memerlukan vitamin D untuk memperkuatkan daya tahan tubuh. Ia boleh dihasilkan oleh tubuh sendiri apabila kulit terkena cahaya matahari.
Selain itu, ia juga boleh didapati dalam bentuk semula jadi daripada pelbagai sumber makanan seperti sebahagian jenis ikan, minyak ikan, kuning telur, produk tenusu dan bijirin.
Sementara itu, vitamin A juga merupakan salah satu vitamin yang diperlukan bagi meningkatkan daya tahan tubuh kerana ia memiliki kesan antioksida yang dapat meningkatkan sistem imun tubuh. Untuk mendapatkan nutrisi vitamin jenis ini, kita perlulah kerap mengambil makanan seperti lobak merah, labu kuning dan ubi.
Selain itu, vitamin E bukan hanya sekadar vitamin untuk pertahanan tubuh, tetapi ia juga merupakan antioksida yang dapat membantu tubuh melawan jangkitan penyakit. Vitamin E boleh didapati daripada pengambilan sayur bayam, brokoli, bijirin dan kekacang. Begitu juga dengan vitamin B6, ia mempunyai peranan penting dalam proses reaksi kimia pada daya tahan tubuh kita. Vitamin ini boleh diperoleh dengan mudah melalui pengambilan makanan berasaskan ayam, salmon, tuna, dan sayuran berdaun hijau.
Pentingnya meminum air
Selain itu, kita juga disarankan untuk sentiasa memperbanyakkan meminum air kosong dalam kehidupan seharian.
Air adalah sebahagian daripada hampir setiap proses biologi dalam tubuh kita. Ini merangkumi pengangkutan nutrien, pengawalan suhu badan, dan pelbagai proses metabolik. Minum air yang mencukupi membantu organ-organ kita berfungsi dengan lebih baik.
Ia juga merupakan komponen utama dalam tubuh kita, dan kita sentiasa kehilangan air melalui peluh, urin dan pernafasan. Minum air kosong membantu menggantikan kehilangan ini dan memastikan tubuh kita terhidrasi dengan baik.
Selain itu, air membantu dalam proses penyingkiran sisa dan toksin dari dalam tubuh melalui proses buang air besar dan pengeluaran air kencing. Ini membantu mempercepatkan proses pemulihan awda daripada influenza.
Orang yang menghidap influenza memerlukan lebih banyak pengambilan air berbanding orang yang sihat kerana banyak air dikeluarkan melalui simptom-simptom yang dialami.
Sumber tenaga rawatan alternatif
Salah satu sumber tenaga rawatan alternatif bagi mencegah influenza adalah menerusi pengambilan madu dalam kehidupan seharian.
Madu adalah makanan yang sangat bernilai yang digunakan sejak zaman purba sebagai sumber makanan tenaga yang penting. Maka, tidak hairanlah jika madu digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional sebagai rawatan alternatif untuk pelbagai penyakit.
Madu merupakan pemanis semula jadi dihasilkan lebah madu dari sari bunga, nektar atau dari rembesan bahagian hidup tumbuhan atau perkumuhan tumbuhan, dikumpulkan oleh lebah madu dan diubah serta digabungkan dengan bahan spesifik dalam lebah madu sehingga matang.
Apa yang menyebabkan madu amat popular adalah kerana ia mudah untuk dimakan. Ia juga boleh disapu pada roti, dicampurkan dengan jus atau sebarang minuman atau dicampurkan dengan herba lain untuk dijadikan ubat.
Pada dasarnya, mengamalkan pengambilan madu dapat memberikan khasiat tertentu kepada badan.
Sifat antibakteria dan antikulat yang terdapat dalam madu menyebabkan ia sering digunakan sebagai antiseptik semula jadi dalam perubatan tradisional. Madu mengandungi nutraseutikal yang amat berkesan dalam membuang radikal bebas daripada tubuh.
Di samping itu, madu mengandungi flavonoid, sejenis antioksida yang membantu dalam mengurangkan risiko sesetengah kanser dan penyakit jantung. Dalam pada itu, madu juga mengandungi demulsen (bahan ubat melegakan) yang dapat melegakan kerengsaan.
Manakala antioksida yang terdapat dalam madu mampu membantu mencegah kerosakan sel-sel dan masalah ingatan pada otak.
Sentiasa berusaha dan bertawakal
Akhir sekali, perlu diketahui juga bahawa selagi kita bergelar hamba Allah, kita tidak akan terlepas dari segala ujian dan dugaan kehidupan yang kita rasai pada detik ini dan pada masa akan datang. Namun, suatu hal yang perlu kita ketahui sedalam-dalamnya bahawa Allah SWT tidak akan membebani hamba-hamba-Nya di luar dari kemampuannya.
Oleh itu, dalam kita meniti liku-liku musibah sebegini, perlunya kita sebagai umat Islam untuk sentiasa meyakini bahawa segala yang berlaku itu tersimpan hikmah padanya. Maka dalam kita berusaha menjaga kesihatan diri dengan pelbagai cara, janganlah pula kita lupa untuk sentiasa mengiringi segala urusan kita dengan bertawakal kepada Allah SWT.