Oleh Yusrin Junaidi –
TEMBURONG, 7 APRIL – Dalam sama-sama mengimarahkan bulan Ramadan yang mubarak, Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Negara Brunei Darussalam menerusi Badan Bertindak Bantuan Kemanusiaan hari ini menganjurkan Program Iftar Akbar Menyulam Kasih Ramadan bertempat di Pekan Bangar, Daerah Temburong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri.
Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sulan, diikuti dengan ucapan daripada pengerusi Badan Bertindak Bantuan Kemanusiaan PBSM Negara Brunei Darussalam.
Majlis diteruskan dengan Pelancaran Iftar Akbar Permata Hijau 1445-2024 yang disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Acara juga diserikan dengan penyampaian sumbangan pek bersungkai kepada 500 orang oleh tetamu kehormat bersama-sama dengan para jemputan khas.
Program yang merupakan kali kedua dianjurkan itu bertujuan berkongsi kasih sayang dan pemedulian sesama insan terutama golongan asnaf fakir dan miskin, mualaf, orang kelainan upaya, warga emas, anak yatim dan ibu tunggal serta komuniti daif pada umumnya.
Program ini juga menyediakan ruang kepada penglibatan rakan korporat dan masyarakat umum untuk menghulurkan sedekah berupa pek makanan dan juadah bersungkai bagi diagih-agihkan kepada golongan sasaran tersebut.
Di samping itu, ia juga sebagai satu ruang untuk sama-sama mengimarahkan bulan Ramadan dan mensyukuri nikmat Allah SWT dengan bersungkai bersama-sama.
Kira-kira 1,000 pek makanan bersungkai beraneka jenis telah disediakan dan diagihkan secara percuma oleh penyumbang yang terdiri daripada rakan korporat dan sukarelawan PBSM Negara Brunei Darussalam dan masyarakat umum lainnya.










