Sunday, December 22, 2024
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama-sama majukan negara

    KUALA LUMPUR, 31 DIS – Dalam negara melangkah ke tahun baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak seluruh rakyat mengambil langkah untuk memajukan diri, selari dengan usaha kerajaan memajukan negara.

    Dalam perutusan sempena Tahun Baharu 2020, Perdana Menteri berkata walaupun Malaysia tidak dapat mencapai sasaran negara maju sepenuhnya, namun ada beberapa elemen negara maju yang boleh dilakukan. Beliau menggariskan nilai-nilai itu seperti sifat rajin, berdisiplin, menjaga kebersihan, bersifat tolak-ansur, hormat-menghormati, berbudi bahasa dan berjiwa besar.

    “Ini adalah ciri-ciri yang membeza kita daripada mereka yang tidak maju dan mundur.

    “Sifat-sifat mulia ini mewakili kesemua budaya, agama dan bangsa serta kepelbagaian Malaysia,  seharusnya membuat kita lebih peka kepada nilai-nilai ini,” katanya.

    Dr Mahathir seterusnya berkata tahun 2020 agak signifikan di hatinya.

    Para pengunjung tidak melepaskan peluang berswafoto pada Majlis Ambang Tahun Baharu 2020 di Dataran Merdeka malam tadi.

    “Semasa saya menerajui pentadbiran Malaysia pada kali pertama, kerajaan menerusi Wawasan 2020 ketika itu telah menyasarkan tahun ini sebagai tahun bagi negara kita mencapai taraf negara maju.

    “Namun begitu, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita sedar bahawa sasaran itu tidak dapat kita capai sepenuhnya dan kerana itu kita telah menyediakan blueprint baharu yang kita kenali sebagai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

    Dalam kata lain, menurut Dr Mahathir, sasaran mencapai status negara maju itu dilanjutkan ke 2030 dan kerajaan percaya objektif itu dapat dicapai.

    Perdana menteri menegaskan kerajaan sentiasa berusaha untuk memaju dan memakmurkan negara, kerana ia adalah amanah yang diserah kepada pentadbiran sekarang apabila menerima tanggungjawab menjadi kerajaan.

    Dr Mahathir berkata kerajaan tidak boleh bersikap berserah kepada keadaan semasa tanpa memikir strategi dan perencanaan yang difikir sesuai untuk memaju dan memakmur negara.

    “Secara ringkas, kita perlu berusaha dan tidak bergantung kepada takdir untuk memajukan diri kita,” katanya.

    Perdana menteri menegaskan bahawa terjerat dalam polemik politik tidak akan memajukan rakyat dan negara.

    “Ketika masih ada di kalangan rakyat kita yang terperangkap dengan polemik politik yang tidak akan memajukan diri, keadaan di luar tidak menjanjikan kita satu perjalanan yang mudah. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda