Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersama-sama manfaatkan bonus dengan lebih bijak

    Oleh Fadley Faisal – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 DIS – Ketika kakitangan kerajaan di Negara Brunei Darussalam menerima bonus tahunan mereka, musim ini menjadi peluang untuk meraikan dan merancang kewangan.

    Dalam satu wawancara bersama media, kakitangan awam dan pensyarah universiti berkongsi pandangan mereka tentang cara memanfaatkan ‘durian runtuh’ ini, dengan menekankan kepentingan disiplin kewangan dan perancangan.

    Seorang pensyarah dalam Program Pengajian Melayu di Universiti Brunei Darussalam (UBD), Dr Najib Noorashid menggalakkan perbelanjaan berhemah, dengan menyatakan bahawa bonus merupakan ganjaran atas kerja keras dan dedikasi.

    “Dengan jumlah yang signifikan, perlulah ada kawalan diri yang sama signifikan. Berbelanjalah dengan bijak dan bertanggungjawab,” nasihatnya.

    Beliau menekankan kepentingan menggunakan bonus untuk menangani keutamaan penting, seperti melangsaikan hutang, melabur dalam pembangunan diri, menyokong orang tersayang atau membantu mereka yang memerlukan.

    Dr Najib menyatakan bahawa sebahagian daripada bonusnya diperuntukkan untuk ibunya. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    Dr Mayyer menekankan pentingnya merancang perbelanjaan dengan teliti. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL
    Dayang Siti Nadiah mengingatkan agar tidak membelanjakan wang secara impulsif. – GAMBAR OLEH FADLEY FAISAL

    “Ini boleh menjadi peluang untuk membayar bil tertunggak, menghargai diri sendiri atau berkongsi dengan keluarga.

    Pada masa yang sama, jangan lupa untuk menyimpan demi masa depan dan mewujudkan jaringan keselamatan kewangan,” katanya.

    Merujuk kepada pendekatan peribadinya, Dr Najib berkongsi bahawa sebahagian daripada bonusnya diperuntukkan untuk ibunya.

    “Sebahagian daripada bonus akan saya berikan kepada ibu saya yang berada di bawah jagaan saya.

    Jumlah ini sedikit lebih besar daripada elaun bulanan biasa beliau. Bakinya saya bahagikan untuk simpanan keperluan masa depan, seperti perjalanan dan sebahagian lagi untuk diri sendiri,” jelasnya.

    Sementara itu, seorang pensyarah dalam Program Pengajian Bahasa Inggeris di UBD, Dr Mayyer Ling Mohammad Tony Ling menekan-kan keperluan untuk mengutamakan kestabilan kewangan. Beliau menekankan pentingnya merancang perbelanjaan dengan teliti.

    “Bonus seterusnya hanya akan tiba pada bulan Disember tahun depan. Mulakan dengan mengetepikan dana untuk kecemasan dan menambah simpanan atau pelaburan.

    “Rancang perbelanjaan awda dengan fokus kepada keperluan seperti keperluan rumah tangga, bil, atau yuran sekolah sebelum memenuhi kehendak peribadi,” katanya.

    Dr Mayyer turut memberikan pandangan berguna untuk ibu bapa, dengan menekankan kepentingan mewujudkan jaringan keselamatan kewangan untuk keluarga mereka.

    “Pelaburan sebenar mungkin tidak memberikan pulangan tinggi serta-merta, tetapi ia berkembang secara beransur-ansur dari semasa ke semasa, memastikan kestabilan apabila anak-anak meningkat dewasa,” katanya.

    Beliau mencadangkan agar menyumbang dalam pelan simpanan pendidikan, simpanan emas atau deposit tetap sebagai cara untuk memastikan manfaat jangka panjang.

    Bagi ibu bapa dengan anak-anak yang bersekolah, Dr Mayyer mencadangkan agar memberi keutamaan kepada perbelanjaan pendidikan, seperti buku, yuran tuisyen, pakaian seragam, dan aktiviti kokurikulum.

    “Selain itu, pertimbangkan untuk menaik taraf barangan rumah penting yang menyokong kesejahteraan keluarga,” tambahnya.

    Beliau turut mengingatkan agar mengelakkan perbelanjaan impulsif dan terlalu komited kepada pinjaman yang tidak perlu.

    “Kesilapan terbesar adalah membazirkan wang untuk barangan yang tidak penting tanpa pertimbangan yang wajar.

    Elakkan tekanan daripada rakan sebaya untuk menyamai corak perbelanjaan orang lain, terutamanya semasa musim perayaan seperti cuti Disember, tahun baharu, puasa pada bulan Ramadan dan Hari Raya,” nasihatnya.

    Seorang penjawat awam, Dayang Siti Nadiah Wahidah binti Haji Saini turut menyuarakan sentimen yang sama dengan menyeru agar berdisiplin dalam kewangan dan berbelanja secara bijak.

    “Awda perlu berjimat cermat dan berdisiplin dalam merancang kewangan dengan bijak.

    Simpan sekurang-kurangnya 15 peratus daripada bonus awda untuk kecemasan,” katanya.

    Beliau juga menekankan manfaat melabur dalam aset yang menambah nilai. “Dana bonus boleh digunakan untuk membeli aset yang menambah nilai kepada kedudukan kewangan awda, seperti emas,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Dayang Siti Nadiah mengingatkan agar tidak membelanjakan wang secara impulsif.

    “Ramai orang membeli-belah tanpa pertimbangan dan membelanjakan lebih daripada keperluan mereka.

    Untuk mengelakkan ini, pantau perbelanjaan awda dan rancang kewangan dengan teliti.

    Sebelum membuat pembelian, tanyakan kepada diri sendiri sama ada ia adalah keperluan atau keinginan,” nasihatnya.

    Nasihat kolektif daripada para profesional ini menonjolkan kepentingan mendekati musim bonus dengan keseimbangan antara ganjaran diri dan kebijaksanaan kewangan.

    Dengan memberi keutamaan kepada simpanan, pelaburan dan perbelanjaan yang terancang, rakyat Brunei dapat menggunakan bonus mereka untuk menikmati masa kini serta memastikan masa depan kewangan yang lebih terjamin.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda