Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Negara Brunei Darussalam akan menyambut Nuzul Al-Quran Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1442 Hijrah bertemakan ‘Al-Quran Asas dan Pemangkin Pembangunan Negara’ pada malam esok (29 April) di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Sehubungan itu, cuti awam Nuzul Al-Quran jatuh pada hari Jumaat dan Sabtu sebagai gantinya.
Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat kebangsaan merangkumi pengumuman keputusan pertandingan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang akhir Penghafalan Al-Quran Kebangsaan dan Pemahamannya bagi tahun 1442H/2021M bagi lima kategori yang dipertandingkan.
Bagi sama-sama menjayakan majlis, orang ramai dan tetamu disarankan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 ketika menghadiri majlis tersebut antaranya hanya mereka yang mempunyai kod hijau atau kuning sahaja yang dibenarkan menghadiri majlis.
Orang ramai yang bergejala demam, batuk, hidung berair dan kesukaran bernafas dan sebagainya tidak dibenarkan menghadiri perhimpunan manakala para jemputan juga diminta mengimbas kod QR BruHealth serta digalakkan memakai penutup mulut dan hidung.