KANGAR – Bayangkan menikmati kopi dan sajian lazat sambil dikelilingi bunga mawar dan daun keladi berwarna-warni, serta kehijauan pohon buah-buahan.
Penduduk Perlis di Malaysia, mahupun pelancong dari luar kini boleh berkunjung ke Kafe Kopi Kebun di Kampung Sentua di sini untuk merasai sendiri suasana tersebut.
Pemilik bersama kafe tersebut Siti Khadijah Jaafar, 58, berkata minat mendalam terhadap pokok bunga dan buah-buahan mendorongnya untuk membuka kafe berkonsepkan taman bunga itu yang kini tular di media sosial sebagai ‘Mini Cameron Highlands’.
Ini kerana, sebaik melangkah masuk ke premis itu, pengunjung dapat merasai suasana seperti berada di tanah tinggi Cameron apabila dapat melihat pokok bunga seperti mawar daripada spesies English Rose serta pokok keladi spesies Topeng Firaun, Monstera dan pelbagai lagi.
Kedudukan kafe di atas tanah tinggi juga menjadikannya sentiasa ditiup bayu, selain dikelilingi kehijauan pokok buah-buahan seperti mangga harum manis dan longan.
Menurut Siti Khadijah yang mesra dipanggil Kak Siti, pada awalnya dia dan keluarga mengusahakan mangga harum manis dan beberapa pokok buah lain.
“Sebagai pendapatan sampingan, kami sekeluarga mengusahakan pokok bunga ros dan ramai pembeli dari luar Perlis datang ke kebun, mereka mencadangkan agar kami membuka kafe, maka dari situlah datang idea untuk membuka Kopi Kebun,” katanya yang merupakan bekas jurutera perisian.
Meskipun tempat itu baru sahaja dibuka dua bulan lepas, dia tidak menyangka ia mendapat sambutan hangat.
“Kami akan berusaha untuk menambah lebih banyak pokok bunga secara berperingkat bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan dan setakat ini ada lebih 100 jenis bunga ros dan pelbagai bunga hiasan lain,” katanya.
Selain itu, ibu kepada dua orang anak itu berkata dia menyediakan sendiri menu utama seperti nasi kerabu, nasi lemak, laksa Johor, mi kari, aneka kuih tradisional Melayu dan beberapa menu sarapan Barat dengan dibantu suami Khairul Lamar Bakri, 58, dan tiga orang pekerja.
Katanya beliau cuba untuk tidak mengguna perisa dan pewarna tiruan dalam setiap hidangan dan hanya menguna bahan semula jadi, sebagai contoh menggunakan bunga telang ditanam sendiri dalam penghasilan nasi kerabu.
Siti Khadijah berkata impiannya adalah untuk membangunkan Kopi Kebun sebagai pusat agropelancongan yang mempunyai penginapan dan pelbagai jenis tumbuhan.
“Setakat ini kami hanya ada dua bilik inap desa dan saya bercadang untuk menambahnya pada masa akan datang,” katanya yang turut bercita-cita menjadikan kafenya itu sebagai pusat latihan bagi anak muda yang berminat menceburi bidang agropelancongan. – Bernama