Sunday, October 6, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersantai di pulau percutian

    MALAYSIA – Awda mungkin belum pernah menjejakkan kaki di pulau-pulau yang indah di Malaysia, jadi musim percutian merupakan peluang terbaik untuk meneroka pulau-pulau berkenaan.

    Terdapat kira-kira 878 pulau di perairan Malaysia, meletakkan negara itu di tempat keempat dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai paling banyak pulau.

    Walaupun Malaysia mungkin tidak mempunyai pulau sebanyak Indonesia, Filipina dan Thailand, akan tetapi pulau-pulau yang terdapat di negara itu tidak kekurangan dari segi alam semula jadi tropika. Pantai yang bersih, air laut biru dan pelbagai hidupan marin menjadikan pulau-pulau di Malaysia sebagai destinasi yang sempurna untuk bersantai.

    Pulau Sipadan, Pulau Redang dan Pulau Tioman adalah antara pulau tempatan yang sering menjadi senarai teratas bagi pengembara, namun untuk perancangan percutian seterusnya, awda juga boleh pergi ke pulau yang kurang dikunjungi.

    PULAU SATANG, SARAWAK

    Di kawasan perlindungan marin pertama Sarawak dengan keluasan 19,414 hektar, Taman Negara Talang Satang, terletaknya sekumpulan empat pulau. Dua daripadanya ialah Pulau Satang Besar dan Pulau Satang Kecil, yang dahulu digabungkan dengan dua pulau yang tinggal iaitu Pulau Talang-talang Besar dan Pulau Talang-talang Kecil untuk membentuk tempat perlindungan penyu – seterusnya menjadikan nama tempat tersebut sebagai Pulau Penyu Sarawak.

    Pulau Bohey Dulang adalah salah satu daripada lapan pulau di Taman Laut Tun Sakaran Sabah. – ANN/The Star
    Penetasan penyu merupakan tarikan utama bagi pelancong yang berkunjung ke Pulau Satang, yang terletak di Taman Negara Pulau Talang-Satang di Sarawak. – ANN/The Star
    Pulau Tenggol adalah tempat yang popular untuk menyelam skuba di Terengganu. – ANN/The Star
    Snorkeling sentiasa menjadi aktiviti popular di Pulau Giam Perak. – ANN/The Star

    Sering kali apabila Pulau Satang disebut, ia merujuk kepada dua pulau Satang yang lebih besar (juga yang terbesar daripada keempat-empatnya). Ia mempunyai tempat penetasan penyu. Bagaimanapun, ia merupakan tempat larangan untuk pelawat, melainkan mereka ditemani oleh Renjer Perbadanan Perhutanan Sarawak pada setiap masa dan berada dalam kawasan yang ditetapkan.

    Terumbu karang cetek di sekeliling pulau menjadikannya sesuai untuk aktiviti snorkeling. Selam skuba juga dibenarkan tetapi hanya di zon yang ditetapkan.

    Perjalanan bot, bertolak dari Pantai Damai, Jeti Kelab Bot Sarawak atau Jeti Telaga Air, akan mengambil masa kira-kira 30 hingga 45 minit. Awda boleh menikmati lawatan sehari di sini dengan menyertai lawatan yang telah diatur.

    PULAU BOHEY DULANG, SABAH

    Pulau Bohey Dulang adalah yang kedua terbesar (selepas Pulau Bodgaya) daripada lapan pulau yang terletak di Taman Laut Tun Sakaran Sabah. Disebabkan air jernih kebiru-biruan dan biodiversiti marin yang kaya, pulau tersebut merupakan lokasi yang sangat sesuai untuk snorkeling.

    Aktiviti yang mesti dilakukan di sini adalah mendaki ke puncak setinggi 353 meter (m). Laluan sepanjang 700m itu berliku-liku mengelilingi pulau dan mengambil masa kira-kira 15 hingga 40 minit untuk menamatkannya, bergantung pada rentak awda.

    Selepas penat mendaki, awda akan menerima ganjaran dengan pemandangan cantik keseluruhan taman laut, termasuk lagun menakjubkan dibentuk oleh kawah gunung berapi yang telah pupus. Awda perlu memakai kasut bertutup pada pendakian yang mencabar itu.

    Awda juga boleh menyewa kasut Adidas Kampung yang praktikal dengan bayaran minimum.

    Pulau berkenaan boleh diakses melalui bot dari Jeti Semporna, yang akan mengambil masa perjalanan kira-kira 30 minit dengan jarak kira-kira 25km antaranya. Awda boleh memilih untuk menyertai lawatan menjelajah pulau atau menyertai lawatan peribadi ke Bohey Dulang sahaja namun memerlukan bayaran lebih tinggi.

    PULAU TENGGOL, TERENGGANU

    Pencinta alam akan mendapati Pulau Tenggol satu tempat menarik untuk dikunjungi, kerana ia menawarkan keajaiban sama ada di dalam air mahupun di darat.

    Pulau berbatu kecil yang boleh diakses dengan bot dari Jeti Kuala Dungun, ia adalah sebahagian daripada empat gugusan pulau (Tenggol, Redang, Perhentian, Kapas) yang membentuk Taman Laut Terengganu.

    Gugusan Pulau Tenggol misalnya mempunyai nama panggilan lain seperti Pulau Nyireh, Pulau Tokong Timur, Pulau Tokong Talang, Pulau Tokong Burung and Pulau Tokong Kemudi.

    Pulau berbentuk seperti buaya itu adalah syurga untuk kegiatan menyelam, bukan sahaja kerana ekosistem marinnya yang berkembang pesat tetapi juga kerana ia mempunyai lebih daripada 20 tempat menyelam yang boleh diterokai. Selain itu, ia juga merupakan rumah kepada hutan simpan yang berusia lebih 200 tahun. Jika awda menyukai penerokaan laut dan darat, maka pulau inilah yang paling sesuai untuk awda.

    PULAU HARIMAU, JOHOR

    Ia adalah satu lagi pulau yang berbentuk seperti haiwan. Latar belakangnya mengingatkan harimau yang sedang tidur, maka ia diberi nama Pulau Harimau. Destinasi memukau yang terletak di Mersing, Johor ini sering dipanggil ‘syurga’. Perjalanan bot kira-kira 30 minit dari Jeti Mersing akan membawa awda ke pulau itu.

    Memasuki menerusi sebuah gua, awda akan temui sebuah lagun dengan air berwarna biru yang sejuk – sesuai untuk peminat renang. Perairan yang jernih dan ekologi bawah air yang pelbagai juga menjadikan aktiviti snorkeling yang menyeronokkan.

    Pelancong sehari biasanya akan melawat pulau itu sebagai sebahagian daripada jadual perjalanan pulau mereka, yang termasuk pulau-pulau berdekatan seperti Pulau Hujung, yang terkenal dengan pantai putihnya yang bersih; Pulau Tengah, satu-satunya penginapan di Pusat Peranginan Batu Batu; Pulau Besar, sesuai untuk seisi keluarga kerana terdapat lebih banyak penginapan untuk dipilih; dan Pulau Rawa, sering disebut sebagai ‘Maldives di Johor.’

    PULAU GIAM, PERAK

    Pulau Giam secara teknikalnya adalah sebuah pulau kecil, terletak di perairan Pulau Pangkor, iaitu salah satu destinasi pulau yang sangat popular di Perak. Walaupun kecil, ia adalah tempat yang digemari oleh pelancong yang suka snorkeling kerana ia mempunyai pengunjung yang agak kurang berbanding dengan pulau utama.

    Menaiki bot dari Pantai Teluk Nipah adalah satu-satunya cara pengangkutan ke Pulau Giam.

    Walau bagaimanapun, jika awda kebetulan melawat pada pertengahan Februari, awda boleh mencuba untuk berjalan kaki ke sana. Pada masa itulah paras air laut turun pada tahap paling rendah sehingga awda boleh berjalan dengan mudah dalam jarak kira-kira 400m dari pantai ke pulau kecil. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda