Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersatu hati realisasi wawasan

    Oleh Syahmi Hassan

    Jika kita semua bersatu hati, mempunyai satu sasaran, satu destinasi, insya-Allah 12 tahun yang akan datang tidak mustahil untuk kita akan capai wawasan negara, malah mungkin sebelum tahun 2035 lagi.

    Demikian pendapat seorang belia, Awang Mohd Firdaus bin Haji Ibrahim, 34 tahun mengenai tema ‘Menjayakan Wawasan Negara 2035’ semasa ditemu bual wartawan Media Permata pada Sambutan Hari Kebangsaan ke-39 di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, di ibu negara, hari ini.

    “Seperti dalam sebuah organisasi, jika seorang dua sahaja yang bekerja untuk menuju ke arah yang sama sementara yang lain tidak menuju ke wawasan yang sama, memang wawasan tersebut tidak akan tercapai,” tekannya lagi.

    Menurutnya lagi, sebagai rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam, terutamanya belia yang bakal menerajui negara pada masa hadapan nanti, patut bekerjasama, bertolak ansur sesama sendiri memberikan idea yang dapat digunakan untuk membangun Wawasan Negara 2035 yang ditujui sekarang ini.

    Sementara itu, Penolong Ketua Pegawai Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Dr Iskandar bin Hasnan, 33, turut mengongsikan bahawa pengekalan tema ‘Menjayakan Wawasan Negara 2035’ adalah bersesuaian kerana ia adalah salah satu aspirasi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang kita semua berusaha untuk merealisasikan ketika ini.

    Dr Iskandar semasa ditemui di ibu negara, kelmarin.
    Awang Mohd Firdaus semasa ditemu bual Media Permata.
    Awang Mohammad Norishamuddin bergambar bersama rakan-rakannya di gerai jualan merek04

    “Jadi selaku belia, kita patut mendukung serta menjunjung titah Baginda, dalam sama-sama membuktikan wawasan negara dapat dicapai,” ujarnya.

    Beliau turut menyatakan para belia perlu mengambil tahu apa sahaja dasar-dasar yang telah dirangka oleh kerajaan, mendukungnya serta diambil tindakan secara whole of nation.

    Seorang lagi belia yang ditemu bual, Awang Mohammad Norishamuddin bin Abdul Mutalib, 30, mengongsikan Sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini nampaknya diadakan dengan begitu meriah sekali.

    “Kami selaku belia yang berniaga di kawasan Yayasan ini sudah pun bersiap-siap sejak dari jam 4 pagi lagi untuk menyediakan segala barang-barang keperluan perniagaan,” kongsinya.

    “Saya selaku pemilik Bagagigit ingin menjunjung kasih kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui pihak Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah kerana memberikan peluang kepada belia-belia berniaga di sini untuk mengembangkan dan mendedahkan lagi perniagaan kami khususnya peniaga-peniaga tempatan.

    “Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-39,” tambahnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda