Oleh Efwad Rashyad
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Jan – Rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dalam semua peringkat usia berperanan untuk sama-sama menjayakan Wawasan Negara 2035, bagi memastikan negara ini terus diberkati, maju, makmur dan cemerlang.
Perkara itu adalah antara yang akan ditekankan oleh panel-panel semasa Nadwah Khas sempena Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam 2018 yang akan disiarkan di televisyen Brunei nanti.
Rakaman Nadwah Khas sempena Hari Kebangsaan 2018 itu merupakan anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Kampung Sungai Buloh dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui Unit Dakwah TV dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI).

Dua panel bagi rancangan itu ialah Awang Fariszal bin Ali dan Awang Abdul Rahman bin Haji Ajak, sementara ia dipengerusikan oleh Awang Mohammad Fatim Abdul Rahman bin Kifli.
Kedua-dua panel mengutarakan hujah yang sangat menarik dengan paparan isu masa kini, yang menjurus kepada peranan rakyat dan penduduk tidak kira usia dalam memajukan negara ini dari pelbagai sudut. Mereka percaya kecemerlangan negara juga disumbangkan melalui usaha yang gigih, kesungguhan rakyat dalam memantapkan arus pembangunan dan kemajuan Negara.