ULASAN SIRI TV OLEH RUZAINI HAJI DAUD
RENTETAN dari kejayaan siri drama Rooftop Prince, pengarah yang berjaya mengarahkan siri drama itu, Ahn Gil-Ho kembali mengarah sebuah siri drama terbaru, Secret Forest. Sementara skrip drama ini pula ditulis oleh Lee Soo-Youn.
Siri drama Secret Forest ini dibintangi oleh Cho Seung-Woo yang sebelum ini pernah beraksi melalui sebuah siri drama yang berjudul God’s Gift – 14 Days.
Di samping itu, pelakon itu juga turut digandingkan bersama dengan Bae Doo-Na di mana ia adalah kemunculan semula bagi pelakon wanita itu selepas tujuh tahun berehat dari dunia lakonan.
Antara barisan pelakon yang turut membintangi siri drama ini adalah Lee Joon-Hyuk, Lee Kyoung-Young, Shin Hye-Sun, Yoo Jae-Myung, Yoon Kyung-Ho, Park Jin-Woo, Park Yoo-Na dan ramai lagi.
Pada dasarnya siri drama ini bermula dengan menampilkan kisah mengenai Hwang Shi-Muk yang dilakonkan oleh Cho Seung-Woo.

Hwang Shi-Muk telah menjalani pembedahan otak sedari usianya masih kecil di mana perkara tersebut sedikit sebanyak telah membuatkan beliau menjadi seorang yang cukup tegas,
Apabila dewasa, Hwang Shi-Muk telah menjawat jawatan sebagai seorang pendakwaraya di mana beliau telah menggunakan sifat tegas dan rasionalnya itu untuk membanteras segala aktiviti yang menyalahi undang-undang terutama gejala rasuah.
Pada suatu hari, beliau cukup terkejut apabila menemui satu mayat telah ditinggalkan di hadapan rumahnya.
Lalu dalam menyelesaikan kes pembunuhan tersebut, Hwang Shi-Muk telah bekerjasama dengan seorang anggota polis wanita, Leftenan Han Yeo-Jin lakonan Bae Doo-Na.
Dari situ, pendakwaraya dan polis tersebut telah bekerjasama untuk mematahkan sebarang aktiviti jenayah termasuk menyelesaikan kes pembunuhan misteri tersebut.
Justeru untuk melihat segala aksi menarik jangan terlepas untuk terus menonton siri drama Secret Forest sehingga ke penghujungnya.