Wednesday, February 5, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersatu Memperkasa Kecemerlangan Belia

    Oleh Nurdiyanah R.

    Gambar serahan penganjur BYLC 2021

    Ibarat peribahasa ‘genggam bara api, biar sampai jadi arang’, sesuatu pekerjaan itu meski betapa sukar dan mencabar pun, jika diusahakan secara bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil kejayaan.

    Semangat kental itulah yang pasti ingin kita lihat dalam diri anak bangsa tanah air terutamanya golongan belia agar sentiasa bergiat aktif melibatkan diri dalam ehwal pembangunan negara demi mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035. Sudah tentunya, negara amat memerlukan dan menunggu penglibatan belia dalam sama-sama berkarih dan berjarih hingga belurih ke arah merealisasikan matlamat berkenaan.

    Sehubungan dengan itu, demi menyahut penglibatan golongan belia dalam aspek perubahan, penghijrahan dan transformasi ke arah nilai-nilai positif berkenaan, Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2021 (BYLC 2021) telah diadakan selama tiga hari bermula pada 23 hingga 25 Mac di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Daerah Temburong, baru-baru ini.

    Lebih 100 peserta menyahut cabaran

    Seramai 140 orang peserta mengambil bahagian dalam konvensyen kali ketiga anjuran gabungan tiga usahawan muda tempatan iaitu Perspective Insan Academy, Al-Huffaz Management dan Generasi Bekarih yang diketuai oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Iswandy bin Ahmad.

    Konvensyen tersebut merupakan sebuah platform dalam sama-sama memobilisasikan belia supaya bersatu padu dalam menggembleng sumber tenaga ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

    Di samping itu, ia juga bertujuan untuk mengumpul para belia dengan agensi-agensi yang berkepentingan sama ada pihak kerajaan, swasta dan masyarakat untuk menyampaikan maklumat yang tepat dan terkini mengenai hasrat negara serta sama-sama mengorak langkah untuk melaksanakan projek atau program yang mampu menjayakan wawasan berkenaan.

    Sebahagian daripada peserta belia yang mengambil bahagian dalam Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2021 (BYLC 2021).
    Konvensyen turut diserikan dengan aktiviti Resilience Building yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan dan sesi Leadership Circle yang dikendalikan oleh Young Professionals Network (YPN) Brunei.
    Para peserta mencuba proses pembuatan telur masin dan kuih-muih tradisi semasa kunjungan di Balai raya Kampung Puni.

    Menerokai keindahan daerah ‘Permata Hijau Brunei’

    Berbekalkan hasrat untuk meninjau kegigihan para penduduk daerah yang terkenal dengan julukan ‘Permata Hijau Brunei’ dalam menjalankan pelbagai kegiatan sosio-ekonomi serta keunikan budaya tradisi mereka, para peserta berpeluang mengadakan lawatan Temburong Excursion dengan kerjasama Jabatan Daerah Temburong pada hari kedua konvensyen.

    Semasa mengunjungi Mukim Amo, para peserta dapat menyaksikan secara lebih dekat seni bina rumah tradisi yang dikenali sebagai Rumah Panjang versi rekaan moden dan juga klasik iaitu Rumah Panjang di Kampung Sibut dan juga Rumah Panjang Kampung Amo ‘B’ yang mana ia menjadi satu cerminan identiti masyarakat Iban.

    Kewujudan rumah panjang berkenaan menjadi khazanah warisan sehingga bersemadinya semangat perpaduan dan keharmonian dalam menjalankan kehidupan harian di bawah satu bumbung. Bukan setakat menyaksikan produk-produk barangan dan hidangan istimewa hasil tangan penduduk setempat seperti kraf tangan anyaman dan ayam buluh bahkan para rombongan juga dapat menyelami kehidupan mereka sebagai masyarakat Iban yang memiliki kebudayaan dan kesenian yang tersendiri. Begitu juga dengan kemerduan alunan muzik tradisi masyarakat mereka.

    Selain itu, para peserta juga turut berkesempatan menimba ilmu pengetahuan serta mencuba pengalaman sebenar dalam pemprosesan ambulong atau sagu yang diketengahkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Batu Apoi, Mukim Batu Apoi.

    Manakala di MPK Puni, Mukim Bangar, para beliau juga diberi tunjuk cara pembuatan telur masin dan kuih-muih tradisi semasa kunjungan mereka di Balai raya Kampung Puni.

    Lawatan berkenaan secara tidak langsung membuka minda para belia yang terlibat untuk sama-sama bergiat aktif dalam aktiviti-aktiviti sosio ekonomi serta menghargai khazanah negara sendiri, selain juga melestarikan pelancongan domestik dan juga semangat keusahawanan dalam diri.

    Mewujudkan semangat kepimpinan berpengetahuan.

    Dalam usaha untuk meningkatkan semangat kepimpinan yang tinggi, konvensyen turut diserikan dengan aktiviti Resilience Building yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan dan diakhiri dengan sesi Leadership Circle yang dikendalikan oleh Young Professionals Network (YPN) Brunei.

    Pada hari terakhir sebelum berlangsungnya majlis penutup konvensyen, para pemimpin muda telah berpeluang menyaksikan beberapa sesi forum, iaitu sesi Breakout bersama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan); sesi Brunei Climate Change Secretariat; forum bertajuk ‘Ekonomi yang Dinamik dan Berdaya Tahan’ dan sesi What’s Next? disusuli dengan sesi maklum balas yang dikendalikan oleh Pejabat Wawasan Brunei.

    Memperkasa moto B.E.L.I.A

    Dalam pada itu, konvensyen dianjurkan berdasarkan moto B.E.L.I.A iaitu Believe, Empower, Lead, Inspire dan Act. Believe bererti kepercayaan terhadap kemampuan belia dalam membantu mencapai wawasan dan pembangunan negara dan Empower pula bermaksud menyokong, membimbing dan membantu para belia dalam usaha itu.

    Manakala Lead pula kebolehan untuk memimpin dalam melaksanakan perubahan positif dalam mencapai sasaran. Inspire bermakna dorongan mentor dari segi pengalaman, penglibatan dan memberi inspirasi kepada para belia dan makna Act menjurus kepada tindakan yang perlu diambil oleh para belia dalam merealisasikan Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda