Saturday, February 22, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersatu Mencapai Cita Negara

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Setiap negara di dunia ini pasti mengharapkan kemakmuran, kesejahteraan, kemajuan dan pembangunan yang berdaya tahan.

    Begitu juga dengan negara kita yang sentiasa bercita-cita dan mempunyai aspirasi negara selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dan Negara Zikir yang mencakupi nilai-nilai seperti keadilan, kemakmuran, kesejahteraan, pembangunan berdaya tahan, serta kekal dalam berkat dan lindungan Allah SWT dan juga berwawasan luas, jauh ke hadapan berlatar belakangkan nilai dan akal budi orang Brunei.

    Kita juga mempertahankan pemerintahan beraja sebagai asas bernegara. Menghayati dan menyertai proses pembangunan di peringkat individu, keluarga, masyarakat dan negara berlandaskan falsafah Melayu Islam Beraja (MIB). Maka untuk mencapai hasrat dan cita-cita tersebut, kita hendaklah sentiasa bersatu padu menghadapi pelbagai cabaran.

    Perkara itu antara yang ditekankan oleh khatib semasa menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Bersatu Mencapai Cita Negara, hari ini.

    Tambah khatib, orang Brunei sememangnya sudah sebati dengan amalan bersatu padu ini.

    GAMBAR FAIL RAFI ROSLI

    Pencapaian dan perkembangan selama bertahun-tahun sebelumnya, menciptakan landasan untuk harapan dan komitmen masa hadapan.

    “Nilai dan amalan orang Brunei yang diwarisi ini, insyaAllah akan menjamin kelangsungan hidup beraja, bernegara dan bermasyarakat menuju Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur (Negara yang Aman Makmur dan Tuhan Maha Pengampun) sebagaimana yang dihasratkan dan diimpikan,” jelasnya.

    Khatib antaranya turut menjelaskan dalam bernegara, konsep bersatu padu itu sangat penting, iaitu kesepaduan di antara pemimpin, masyarakat dan rakyat. Kebersamaan sebagai kekuatan utama dalam menghadapi cabaran dan mencapai matlamat.

    “Untuk mencapai tujuan dan cita-cita negara, perlulah ada tindakan, usaha aktif dan berterusan, mempunyai komitmen untuk bergerak maju dan mengatasi rintangan dalam menuju pembangunan, menggunakan ilmu dan kepakaran serta sentiasa berusaha memperbaiki kaedah dan cara bertindak serta memanfaatkan kemajuan ilmu dan teknologi,” tekan khatib.

    Dalam khutbah tersebut, khatib turut menekankan keamanan hidup dan keamanan bernegara itu akan lebih berkesan apabila rakyat dan penduduk di sesebuah negara itu sentiasa mengingati Allah SWT.

    Oleh itu, bagi menzahirkan rasa syukur kita ke hadrat Allah SWT atas nikmat kemerdekaan negara kita yang tercinta ini, bersempena dengan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-41 tahun ini, marilah kita beramai-ramai hadir ke masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara iaitu pada petang esok, 22 Februari 2025 bagi sama-sama menunaikan Sembahyang Fardu Maghrib berjemaah, membaca Surah Yasin dan Doa Kesyukuran. Mudah-mudahan dengan doa yang kita pohonkan ke hadrat Allah SWT, negara kita tetap kekal menjadi sebuah negara Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda