Oleh Sim Y.H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 FEB – Dalam usaha berterusan untuk meningkatkan kesedaran dan komitmen bagi mengawal serta memerangi kanser, Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) telah menganjurkan Unite Against Cancer Walk sempena sambutan Hari Kanser Sedunia 2024 di Open Plaza, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Acara berkenaan menyaksikan penyertaan orang ramai dan pihak yang berkepentingan termasuk menteri-menteri, pemimpin, pegawai kerajaan, pengarah dan pengurusan kanan PJSC, pesakit-pesakit kanser, bekas pesakit kanser, doktor dan kakitangan.
Hadir merasmikan acara berkenaan ialah Menteri Kesihatan dan Pengerusi Lembaga Pengarah PJSC, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah; Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin; Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, timbalan-timbalan menteri, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pegawai dan kakitangan PJSC, wakil-wakil penaja serta jemputan khas.
Dalam kata alu-aluannya, Pengerusi Bersama Hari Kanser Sedunia 2024, Dr Raden Mas Jeffri Raden Mas Ismail menyatakan bahawa 2024 merupakan tahun ketiga dan terakhir bagi tema global Hari Kanser Sedunia iaitu Menutup Jurang Penjagaan yang mana ia dihasratkan untuk mengurangkan ketidakseimbangan rawatan dan penjagaan untuk pesakit-pesakit kanser.








Dr Raden Mas Jeffri turut mengongsi bahawa pada masa ini, kadar kanser di Negara Brunei Darussalam adalah nisbah satu pertiga untuk kaum wanita dan nisbah satu perempat untuk lelaki.
“Kadar kanser ini dijangka meningkat pada dekad yang akan datang apa lagi dengan negara kita bakal menghadapi peningkatan aging population dalam masa dua dekad ini,” katanya lagi.
Pada majlis berkenaan, sebagai simbol solidariti, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bersama-sama menteri-menteri kabinet yang lain, jemputan khas serta orang ramai mengambil bahagian dalam aktiviti berjalan kaki yang mengetengahkan tiga buah beca yang mengetuai perjalanan sejauh 2 kilometer mengelilingi kawasan Open Plaza di Bandar Seri Begawan.
Walkaton itu merupakan usaha proaktif jawatankuasa WCD2024 untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya mengamalkan gaya hidup yang sihat dan aktif bagi meningkatkan kualiti kehidupan serta mengurangkan sikap sedentari dalam usaha bersama menentang kanser.
Di samping itu, mereka yang hadir pada acara berkenaan juga dialu-alukan untuk menandakan atau mengecap tangan mereka pada dinding ikrar sebagai simbolik kepada ikrar kolektif untuk menyahut seruan tema Hari Kanser Sedunia 2024.
Pelbagai acara permainan interaktif, gerai tematik, pameran dan acara cabutan bertuah turut diadakan.
Bagi meraikan Hari Kanser Sedunia 2024, Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien dan Jambatan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha telah dinyalakan dengan lampu berwarna biru dan oren yang merupakan warna rasmi bagi Hari Kanser Sedunia, bermula 2 hingga 8 Februari.
Bangunan PJSC di Jerudong juga akan diterangi dengan warna-warna berkenaan.

