Sunday, December 4, 2022
23.3 C
Brunei

-

Bersatu padu demi pendidikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Warga Kementerian Pendidikan termasuk para pegawai, guru dan seluruh tenaga kerja kementerian serta semua pelajar di seluruh negara, diharap akan dapat terus menyemarakkan semangat perpaduan dan kerjasama bagi mempertingkatkan lagi prestasi masing-masing demi kejayaan dan kemajuan pendidikan negara.

Harapan itu dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dalam rakaman ucapan Hari Raya beliau semasa Majlis Ramah Mesra Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Pendidikan 2017 di Dewan Serba Guna, Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jalan Kebangsaan, hari ini.

Majlis sambutan yang dikendalikan bersama oleh Jabatan Kenaziran Sekolah-sekolah, Unit Pendidikan Khas dan Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Kementerian Pendidikan itu membawa tema ‘Yang Jauh Didekatkan’ dan dihadiri oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi serta isteri, Datin Hajah Asmah binti Haji Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar serta isteri; mantan Setiausaha Tetap, Dr. Haji Junaidi bin Haji Abdul Rahman dan isteri selaku jemputan khas; Setiausaha Tetap, Dr. Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr. Haji Azman bin Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah; Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee, para pengarah dan penolong pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan.

Di majlis berkenaan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom dalam rakaman ucapan Hari Rayanya menyatakan harapan supaya semua pelajaran dan pengajaran yang diperoleh semasa menunaikan ibadat puasa di Bulan Ramadan untuk menjadi orang yang ikhlas, lebih sabar dan lebih tabah dalam menunaikan segala tugas serta tanggungjawab di Kementerian Pendidikan.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Sambutan Hari Raya Aidilfitri, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi dan Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom ketika menghadiri Majlis Ramah Mesra Sambutan Hari Raya Aidilfitri, kelmarin.
Datin Hajah Asmah beramah mesra dengan para jemputan.
Datin Hajah Asmah beramah mesra dengan para jemputan.

Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 350 orang jemputan itu diharap dapat mengeratkan lagi tali silaturahim sesama warga Kementerian Pendidikan tanpa mengira pangkat dan tugas.

Majlis sambutan tahunan itu diserikan lagi dengan pertandingan nasyid yang disertai oleh empat pasukan terdiri daripada gabungan dari beberapa jabatan, bahagian dan unit di bawah Kementerian Pendidikan iaitu Wardatul Jannah, Simfoniah Al-Mu’allim, Al-Barakah dan Nur Al-Fitri.

Pertandingan yang bertemakan ‘Suasana Hari Raya Aidilfitri’ itu bertujuan untuk menyalurkan rasa syukur selepas sebulan menyempurnakan ibadah puasa dan mendakwah Sambutan Hari Raya Aidilfitri melalui nasyid.

Pasukan Wardatul Jannah muncul juara pertandingan diikuti oleh Pasukan Simfoniah Al-Mu’allim di tempat kedua dan pasukan Al-Barakah di tempat ketiga di mana hadiah para pemenang berbentuk wang tunai telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi.

Majlis Sambutan Ramah Mesra Hari Raya Aidilfitri itu merupakan acara tahunan kementerian yang bermatlamat bagi menghayati dan mensyukuri kedatangan bulan Syawal sebagai salah satu bulan kebesaran Islam dalam suasana keceriaan setelah selesai menyempurnakan ibadah puasa selama sebulan.

Di samping itu, ia adalah untuk mengamalkan budaya saling bermaaf-maafan dan menyemai sifat pemurah dalam setiap individu serta memberi ruang kepada warga kementerian untuk bekerjasama dalam menjayakan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

China longgarkan lagi peraturan COVID

BEIJING, 2 DIS – Bandar di seluruh China membatalkan arahan sekatan COVID hari ini dengan melonggarkan peraturan ujian dan kuarantin susulan protes di seluruh...
- Advertisment -