Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan alam sekitar, Badan Pergerakan Mahasiswa/i Fakulti Sastera dan Sains Sosial (BPM FASS) Universiti Brunei Darussalam (UBD) mengadakan acara ‘Unite for Wildlife’ yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.
Perasmian yang diadakan dengan kerjasama BruWild dan Spectacle 2019 itu telah disempurnakan oleh Dekan FASS, Dr Hajah Asiyah AzZahra binti Haji Ahmad Kumpoh selaku tetamu kehormat majlis.
Hadir sama pada majlis yang diadakan di Pusat Pelajar (Student Center), UBD itu ialah wakil-wakil daripada Majlis Perwakilan Pelajar UBD dan ahli-ahli badan pergerakan pelajar yang lain.
Acara berkenaan dihasratkan dapat menyebarkan inisiatif yang telah dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti BruWild dalam meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan alam sekitar.
Selain itu, ia juga dilancarkan untuk menggalakkan orang ramai mencuba usaha lain dalam mengurangkan impak buruk terhadap persekitaran dengan menggunakan barang kitar semula secara kreatif seperti lukisan-lukisan yang diperlihatkan oleh Spectacle 2019 pada pameran seni yang menggunakan barangan alam semula jadi.


Salah satu daripada aktiviti yang diadakan pada acara tersebut ialah ‘Race Against Extinction’ iaitu simulasi interaktif yang menunjukkan peringkat yang membawa kepada penghapusan persekitaran hidup haiwan yang diperlihatkan menerusi pelbagai aktiviti seperti ‘Can You Help Save Us?’ dan ‘Save The Nation, Stop Deforestation’.
Pameran berkenaan juga bertujuan untuk mendidik orang ramai agar mengetahui apa yang dilalui oleh haiwan terancam dan tindakan yang boleh diambil untuk memperbaiki persekitaran mereka bagi menyelamatkan haiwan tersebut daripada kepupusan.
Orang ramai yang berkeinginan untuk melihat dan menyaksikan sendiri pameran serta mendengarkan beberapa siri taklimat yang disampaikan oleh BruWild mengenai topik kehidupan biodiversiti marin, alam semula jadi dan juga haiwan-haiwan yang terancam bolehlah berkunjung ke Pusat Pelajar UBD.