BERLIN, 6 SEPT — Canselor Olaf Scholz hari ini menggesa pembangkang dan kerajaan negeri di Jerman untuk membantu mengurangkan birokrasi yang melambatkan ekonomi terbesar di Eropah, ketika kerajaannya berdepan dengan penilaian pengundian yang lemah dan reputasi bagi pergolakan dalaman semasa tempoh pentadbirannya.
Scholz memberitahu ahli parlimen bahawa gabungan pemerintahannya telah mula menjadikan Jerman kurang rumit dan birokratik, misalnya dengan memperkenalkan tiket harga tetap untuk pengangkutan awam negeri dan dengan membina terminal gas asli cecair pertama di negara itu dalam beberapa bulan selepas pencerobohan Rusia ke Ukraine.
Tetapi beliau menyeru kepada 16 kerajaan negeri Jerman, pegawai tempatan dan pembangkang untuk turut serta dalam ‘pakatan bagi Jerman yang menjadikan negara kita lebih pantas, lebih moden dan lebih selamat’.
Ini termasuk bekerja lebih keras bagi menyelaraskan proses perancangan yang sangat panjang, memajukan pendigitalan negara yang perlahan dan mempercepatkan pembinaan rumah baharu.
“Hanya dengan bersama-sama kita akan dapat menyingkirkan ‘kulapuk’ birokrasi, penghindaran risiko dan kehampaan yang telah bersarang di negara kita selama bertahun-tahun lamanya,” katanya.
“Kita mesti membersihkan ‘semak’ birokrasi.” – AP
