Oleh Nurdiyanah R. –
Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat serta Penduduk Daerah Tutong sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77 merupakan satu peluang yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat dan penduduk daerah ini bagi menzahirkan rasa syukur dan kasih sayang terhadap seorang pemimpin negara berjiwa rakyat itu.
Meskipun cuaca terik matahari memancar di langit Daerah Tutong, namun semangat rakyat dan penduduk di daerah berkenaan tidak pernah luntur untuk sama-sama hadir dan menanti ketibaan Baginda Sultan dan kerabat diraja sejak awal pagi. Kemeriahan sudah terasa dengan barisan bendera kecil kebangsaan negara yang dikibarkan oleh para pelajar sekolah rendah dan menengah sepanjang jalan menuju kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan, Daerah Tutong mengiringi keberangkatan Baginda Sultan berserta kerabat diraja ke Pentas Diraja.
Penglibatan lebih 400 orang peserta persembahan khas juga tidak ketinggalan dalam menggenggam satu amanah bagi sama-sama menjayakan persembahan khas sempena sambutan tersebut.
Alunan indah buat raja yang dikasihi
Sehubungan itu, detik-detik manis dalam mengalunkan karya lagu-lagu indah di hadapan majlis Baginda Sultan turut dikongsikan oleh salah seorang penyanyi persembahan khas pada majlis berkenaan, Dayang Zursahumiyana binti Mohd Zooraffendy. Beliau berkata penglibatannya buat julung kali itu bagaikan satu peluang yang amat berharga dalam hidupnya dan salah satu impiannya yang telah tercapai, lebih-lebih lagi ketika menatap wajah pemimpin negara yang begitu dinanti-nantikan setiap tahun.
“Sukar untuk mengungkapkan perasaan ini dengan kata-kata, namun saya amat berbesar hati kerana terpilih sebagai salah seorang penyanyi daripada kalangan penduduk di Daerah Tutong. Sejujurnya, rasa gementar memang ada kerana inilah kali pertama menyertai persembahan khas sebegini, namun berkat latihan yang telah dijalankan selama dua bulan sebelumnya, kami semua dapat menjayakan persembahan khas pada tahun ini dengan keizinan Allah SWT jua,” luahnya.
Dayang Zursahumiyana, yang berasal dari Kampung Telisai, Daerah Tutong, turut mengongsikan bahawa penyanyi tanah air terkenal, Suzan dan Leehin, juga sama-sama menyokong antara satu sama lain dari segi nyanyian, pembahagian lirik dan gerak tari, di samping kegigihan para peserta yang terlibat.
Serlah khazanah kesenian Melayu
Dengan bunga dan gandi keemasan dihias di atas kepala, baju kurung yang mempamerkan keanggunan, helaian kain tenunan menambah seri dengan perhiasan di pinggang, begitulah sentuhan busana yang diperagakan oleh Dayang Syasya Alisya Aqilah binti Abdullah Mohd Iskandar Shah bersama rakan-rakan seperjuangan selaku penari utama persembahan khas pada majlis ramah mesra berkenaan yang terdiri daripada Kumpulan AJ Dancers.
Menyentuh mengenai penglibatan pada tahun ini, Dayang Syasya mewakili kumpulan tersebut menyatakan mereka turut memainkan peranan sebagai guru pembimbing seni tarian bagi persembahan pelajar sekolah rendah dan menengah yang terlibat.
“Inilah tanggungjawab besar yang kami tanai untuk sama-sama menghidupkan tema persembahan pada tahun ini bagi Daerah Tutong,” jelasnya.
“Bukanlah hanya persembahan semata-mata namun apa yang diharapkan agar generasi penerus bangsa untuk terus memartabatkan keindahan seni budaya warisan Melayu Brunei meski pun kita meniti arus kemodenan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, salah seorang peserta persembahan penari kanak-kanak yang membawa gubahan bunga-bungaan, Dayangku Nur Amanina Kalishah binti Pengiran Haji Kamal Ariffin dari Sekolah Nusa Jaya Keriam, juga tidak ketinggalan meluahkan rasa seronok kerana berpeluang belajar seni tarian yang tidak pernah disertainya pada mana-mana aktiviti kokurikulum sebelumnya, di samping berpeluang bertemu dengan Baginda Sultan berserta kerabat diraja secara langsung pada majlis ramah mesra tersebut.