Oleh Dr Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong
Meskipun bulan Ramadan telah berlalu meninggalkan kita namun tetap kita bersyukur pada Allah SWT kerana dengan limpah kurniaNya jua, kita telah dapat mengerjakan puasa selama sebulan di samping berbuat amal jariah dan suruhanNya di bulan yang penuh keberkatan.
Sebagaimana firmanNya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 261 yang antara lain bermaksud : “Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah samalah seperti (menanam) sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, tiap-tiap satu tangkai pula mengandungi seratus biji. Dan Allah menggandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
Justeru, beruntung bagi mereka yang telah melakukan perkara sunat dan berkebajikan dalam meningkatkan lagi ketakwaan kepada Allah khususnya berbuat amal jariah dengan bersedekah kepada golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan seperti anak-anak yatim dan golongan daif.
Salah satu pintu yang telah dibuka oleh Allah SWT pada hambaNya ialah melalui amalan bersedekah. Dan memang tidak dinafikan bahawa dalam kehidupan seharian orang-orang Brunei bersedekah dan membantu golongan fakir dan miskin amat digalakkan malahan daripada segi ajaran Ugama Islam, sifat bersedekah adalah dianggap mulia di sisi Allah SWT. Semakin banyak kita bersedekah maka semakin bertambahlah rezeki dan ganjaran yang kita akan terima daripada Allah SWT.
Pada umum amalan bersedekah adalah sesuatu pemberian yang dilakukan dengan hati ikhlas tanpa dibatasi oleh jumlah tertentu dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Keikhlasan ini adalah kerana rasa cinta kepada Allah untuk mendapat keredaannya dengan mengorbankan harta, wang ringgit, moral, masa dan tenaga hanya semata-mata keranaNya sebagaimana firmanNya, “Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia, melainkan supaya mereka menyembah-Ku”. Surah Al-Dhariyat ayat 56.
Antara amal jariah yang boleh kita lakukan sebagai sedekah melalui jalan Alllah SWT contohnya menyumbang tenaga untuk membersihkan masjid atau surau bagi menjaga keselesaan jemaah yang datang ke masjid. Ini juga adalah satu perbuatan sedekah kerana menjaga rumah Allah untuk kepentingan masyarakat dan umat Islam.
Dari sudut ajaran agama Islam, kita sebagai hambaNya memang digalakkan bersedekah dan memang sudah menjadikan nilai budaya dan cara hidup Melayu Islam Beraja yang diwarisi sejak zaman berzaman. Ini adalah amalan dan cara hidup keBruneian pada masa kini yang pemedulian, keprihatinan dan tidak camah mata dalam memberi bantuan serta pertolongan sama ada berupa wang ringgit, makanan, pakaian dan sebagainya bagi meringankan lagi bebanan yang mereka tanggung. Dalam era globalisasi masa kini bentuk bantuan dan pertolongan kepada golongan yang memerlukan bukan saja diberikan kepada masyarakat Brunei sendiri bahkan juga melibatkan masyarakat luar negara sama ada umat Islam atau sebaliknya asalkan tidak bertentangan dengan nilai-nilai MIB.
Di negara kita, pelbagai medium disediakan oleh pihak kerajaan mahupun agensi swasta, persatuan-persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya bagi memudahkan lagi untuk orang ramai menghulurkan bantuan dan sedekah.
Antara saluran yang telah disediakan ialah melalui khidmat pesanan ringkas, tabung-tabung kutipan derma yang telah diletakkan di tempat-tempat khusus di seluruh negara umpamanya tabung-tabung derma di masjid-masjid untuk menyenangkan orang ramai bersedekah.
Antara tabung-tabung dana itu ialah Tabung Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-anak Yatim, Tabung Dana Bagi Pembinaan Masjid, Tabung Anak-anak Yatim, Dana Tabung Masjid dan sebagainya. Manakala bagi masyarakat luar negara telah disediakan tabung-tabung kepada rakyat Palestin, Gaza, Syria dan sebagainya bagi sama-sama membantu meringankan beban umat Islam di luar negara.
Inilah realiti ajaran Islam yang kita amalkan berlandaskan hidup nilai-nilai MIB untuk kepentingan kedamaian, kemakmuran dan kesejahteraan manusia sejajat tanpa ada batasannya.
Selaku umat Islam kita adalah dituntut untuk meningkatkan amal ibadah pada setiap masa, namun pada bulan Ramadan yang lalu adalah merupakan waktu terbaik untuk melipatgandakan amalan yang biasa dikerjakan.
Dari segi kerohanian pula bersedekah juga dapat mengasuh dan mendidik kita dengan nilai-nilai akhlak dan moral pekerti yang mulia seperti belas kasihan, penyayang, pengasih, prihatin, pemedulian, tidak camah mata, suka menolong dan sebagainya. Ini adalah nilai-nilai MIB yang memang terdapat dalam budaya orang Brunei dan ajaran Ugama Islam supaya mengujudkan rasa insaf dan kesyukuran di atas nikmat Allah SWT.
Ini nilai kepimpinan yang terdapat kepada Raja dan pemimpin kita yang patut dicontohi dan diikuti yang berlandaskan Ajaran Islam. Contohnya seperti setiap tahun KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan untuk mengurniakan kurnia peribadi Baginda kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sempena ketibaan bulan Ramadan dan Syawal yang mulia ini.
Pada tahun ini seramai Sembilan Belas Ribu Sembilan Ratus Tiga Belas (19,913) orang di seluruh negara yang terdiri daripada beberapa golongan, iaitu Orang-orang Berkeperluan Khas, Anak-anak Yatim, Orang Fakir Miskin dan Penerima Bantuan Kebajikan Bulanan sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.
Tujuannya sumbangan ini adalah bagi membantu meringankan bebanan golongan-golongan tertentu, khususnya bagi mereka yang memerlukan dengan ketibaan Hari Raya Aidilfitri.
Semakin kita bersyukur pada nikmat dan kurnia Allah, maka Allah jua akan menambahkan lagi nikmatNya pada hambaNya. Oleh itu, di bulan Ramadan yang lalu ini adalah merupakan medan pahala yang terkumpul dalamnya khazanah kelebihan yang tidak terhitung dan tidak dapat dinilai dengan harta benda.
Alangkah beruntungnya bagi seorang Muslim, jika ia telah merebut segala peluang dan kelebihan yang istimewa yang terdapat dalam bulan Ramadan itu.
Kita bersyukur kerana di bumi Brunei Darussalam ini sentiasa wujud manusia yang mempunyai sikap seperti yang dianjurkan oleh Islam, kerana pada setiap hari dan masa akan kedengaran mencurahnya sedekah dari orang ramai yang tak putus-putus kepada golongan yang daif dan miskin termasuk anak-anak yatim.
Inilah nikmat Ramadan yang di rasai dan dinikmati oleh semua hambaNya di bumi Brunei Darussalam. Semoga amalan hidup ini berterusan bukan saja sahaja di bulan Ramadan bahkan di bulan-bulan yang lain dalam usaha kita mengujudkan kesejahteraan dan kebahagiaan hidup bermasyarakat serta bernegara bagi membuktikan kepada masyarakat luar bahawa dalam mengamalkan nilai-nilai MIB kita juga mengambil berat dan prihatin serta pemedulian kepada kebajikan dan kesejahteraan masyarakat luar.
Inilah ajaran Islam yang sebenarnya yang terdapat dalam amalan nilai-nilai MIB untuk dikongsi samakan dalam kehidupan manusia sejagat demi kesejahteraan dan kedamaian dunia.
Dan tiada ikutan terbaik yang paling layak dan paling utama dicontohi atau diteladani oleh manusia selain daripada kepimpinan Rasulullah SAW. Allah SWT berfirman:
Tafsirnya: “Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta dia pula banyak menyebut dan mengingati Allah”. (Surah Al-Ahzab: 21)
Alhamdulillah, cara terbaik ini telah kita jalani dalam bulan Ramadan iaitu dengan menghayati dan mengamalkan segala suruhan Allah SWT misalnya sebagai contoh, antaranya dalam bulan Ramadan ini seramai lebih kurang 50 orang anak yatim Kampung Masin telah menerima sumbangan derma anjuran dari Jawatankuasa Masjid Masin sempena Majlis Khatam Al-Quran. Begitu juga dalam majlis yang dianjurkan oleh bekas penuntut-penuntut Brunei di Singapura (AKBS) iaitu Majlis Penyampaian Derma Anak-anak Yatim dan Daif.
Seramai lebih kurang 130 anak-anak yatim dan daif telah menerima sumbangan derma sebanyak $100 seorang hasil kutipan dan sumbangan derma dari ahli-ahli AKBS, keluarga dan sahabat andai secara ikhlas kerana Allah SWT. Dan banyak lagi majlis-majlis dan projek amal yang lain yang telah dilaksanakan oleh orang kita Brunei.
Sesungguhnya, semua amalan yang telah dilakukan adalah bertujuan bagi mendekati diri dengan Allah Subhanahu wa Ta‘ala menurut ajaran Ugama Islam yang berpaksikan nilai-nilai MIB.
Inilah warisan kita, sebagaimana pernah diamalkan oleh Sultan-sultan kita seperti sebagai contohnya kata-kata yang terkandung dalam surat Surat Perjanjian Rumah Wakaf Sultan Muhammad Tajuddin yang bertarikh pada 15 Jamadilawal Awal Tahun 1224 Hijrah iaitu kira 200 tahun lalu yang ditandatangani di Arab Saudi:
“Dan Allah akan memberi ganjaran pahala yang akan dibalasNya bagi satiap kebajikan dengan balasan yang besar didunia dan akhirat, HambaNya dari golongan orang yang bersedekah adalah disifatkan seperti dalam firmanNya yang bermaksud: Bahawasanya kesukaan dan kegembiraan adalah bagi orang2 beriman dan taqwa dan kami bershukor di atas kemurahan yang tidak putus2 yang lengkap dan sempurna.”
Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al Hadiid ayat 18, yang tafsirnya berbunyi, “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah laki-laki dan perempuan serta (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (dengan membelanjakan harta pada jalan Allah) akan digandakan ganjaran kepada mereka dan mereka akan beroleh pahala yang banyak.’’
Kita memohon kepada pada Allah SWT semoga perbuatan dan amal jariah kita ini diterima sebagai bekalan dan pelaburan akhirat kita.