Thursday, December 5, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersederhana dalam kehidupan seharian

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Memelihara kesihatan mental adalah penting kerana ia merupakan salah satu amanah dan nikmat daripada Allah SWT.

    Dengan adanya kesihatan mental yang baik ia dapat membantu manusia dalam menyempurnakan ibadah dengan khusyuk dalam solatnya, menajamkan ingatannya untuk menghafaz ayat-ayat suci Al-Quran dan mudah meningkatkan ilmu pengetahuan serta kefahaman.

    Perkara tersebut antara inti pati tazkirah yang disampaikan oleh Pegawai Psikologi (Kesihatan Awam), Kementerian Kesihatan, Dayang Fauziyyah Hanani binti Haji Abdul Manap, semasa Program Malam Munajat yang bersiaran dari Republik Singapura anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) semalam untuk kali ke-156, Khas untuk Wanita ke-18 bersempena dengan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024.

    Selain itu, beliau turut mengongsikan antara perkara yang dapat dipraktikkan demi menjaga kesihatan mental adalah dengan menerapkan keseimbangan dan kesederhanaan dalam kehidupan kita seharian.

    Itu termasuk keseimbangan dalam memperuntukkan masa bagi menunaikan kewajipan agama, masa dengan keluarga, dengan kerja, dan dengan diri sendiri. Seterusnya menerapkan kesederhanaan dalam pemakanan. Di samping itu, bersederhana dalam pergaulan seharian dengan keutamaan menjaga habluminannas.

    Antara yang menyertai Program Malam Munajat baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN KHEU

    Program Malam Munajat minggu ini mengundang Ahli Psikologi Klinikal, Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan, yang memimpin bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah dari Masjid Kampung Salambigar.

    Seterusnya, bacaan Surah As-Sajdah beramai-ramai dipimpin oleh Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Pusar Ulak, Hajah Massuri binti Haji Besar, bersama guru-guru ugama Kawasan Brunei I, Jabatan Pengajian Islam (JPI) dari Surau Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.

    Manakala Doa Munajat dibacakan oleh Penolong Pengarah Hal Ehwal Syariah, Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Dr Noryati binti Haji Ibrahim, dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

    Program disusuli dengan bacaan Asmaul Husna beramai-ramai dipimpin oleh Guru Ugama Tingkat II, Sekolah Ugama Pelambayan, Dayang Sarbanun binti Haji Hussein, bersama guru-guru ugama Kawasan Brunei I, JPI dari Surau Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.

    Sebelum mengakhiri acara, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Pegawai Pendidikan Ugama dan Guru Besar Sekolah Ugama Mabohai, Hajah Rosinah binti Haji Abdul Karim, dari Surau Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan.

    Turut sama mengimarahkan acara tersebut ialah guru-guru ugama Kawasan Brunei I, JPI; jemaah Muslimah dari Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Masjid Kampung Salambigar dan beberapa buah masjid di negara ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda