Monday, March 17, 2025
22.8 C
Brunei
  • Rileks Jap

Berita Terkini

‘Bersedia 4 jam sebelum berlepas’

SEPANG, 29 OGOS – Malaysia Airports hari ini menasihatkan orang ramai untuk sampai empat jam lebih awal daripada masa pelepasan dan mendaftar masuk secara dalam talian, kerana pengguna Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 dijangka lebih ramai dari biasa dari Jumaat hingga Isnin (30 Ogos hingga 2 September) kerana musim cuti yang panjang.

“Kami menjangkakan secara purata pergerakan 160,000 penumpang sehari di KLIA, di sepanjang tempoh ini,” kata Malaysia Airports dalam satu kenyataan sebagai persediaan operator lapangan terbang itu menghadapi tempoh puncak tersebut.

Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Awal Muharam pada 1 September.

Malaysia Airports berkata, 1,000 kakitangan sukarelawan yang telah digerakkan ketika berlaku gangguan sistem rangkaian di lapangan terbang itu sejak 21 Ogos, akan terus dikekalkan di sepanjang tempoh waktu perjalanan puncak tersebut.

“Kami kekal komited dalam memastikan perjalanan penumpang yang selesa,” katanya.

Malaysia Airports juga menasihatkan penumpang untuk mengambil maklum mengenai penutupan ruang udara harian di KLIA antara jam 9 hingga 10:30 pagi dari 27 hingga 31 Ogos, bagi memberikan laluan kepada latihan dan sambutan Hari Kebangsaan.

“Penumpang perlu memeriksa jadual penerbangan terkini daripada pengendali penerbangan masing-masing,” dan menambah kira-kira 85 penerbangan dijangkakan akan terganggu akibat daripada penutupan ruang udara tersebut. – Bernama

- Advertisment -

Berita Berkaitan

Disyorkan Untuk Awda