Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersedia bangunkan komuniti lestari

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi Majlis Komuniti Sosio-Budaya ASEAN (ASCC), mengongsi bahawa Forum ASEAN High-Level Cultural Forum on Promoting an Adaptive ASEAN Community of Greater Understanding, Tolerance and a Sense of Regional Agendas Among the Peoples of ASEAN, adalah sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-32 pada 2018, yang mana Baginda telah menekankan kepentingan memupuk persefahaman, toleransi dan mempertingkatkan semangat agenda serantau di kalangan masyarakat ASEAN, dengan mempamerkan manfaat kehidupan harmoni dengan meningkatkan aspek pendidikan, sukan dan aksesibiliti maklumat yang lebih luas.

    “Perlunya usaha berterusan dalam meningkatkan persefahaman dan toleransi yang lebih tinggi ke arah pembangunan asas, tanggungjawab serta solidariti yang kukuh dalam mencapai masyarakat prihatin dan penyayang,” jelas Yang Berhormat Dato ketika berucap di Forum Kebudayaan Peringkat Tertinggi ASEAN semasa membincangkan hala tuju ke arah memupuk persefahaman, toleransi dan rasa agenda serantau yang lebih tinggi di kalangan masyarakat ASEAN yang diadakan menerusi persidangan video di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Forum itu diadakan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS)selaku Sekretariat Kebangsaan bagi Pengerusi ASCC bagi 2021 dengan kerjasama Sekretariat ASEAN serta sokongan Japan-ASEAN Integration Fund.

    Forum itu menyaksikan ucapan pembukaan daripada Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan, Setiausaha Agung ASEAN, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Lim Jock Hoi dan Duta Jepun ke ASEAN, TYT Chiba Akira.

    Dalam ucapannya lagi, Yang Berhormat Dato berkata bahawa inisiatif itu juga selaras dengan konteks Tema ASEAN 2021 We Care, We Prepare, We Prosper di bawah Kepengerusian Negara Brunei Darussalam, yang mana ASEAN secara kolektif bersependapat untuk menghadapi cabaran serta menjaga kepentingan bersama, dengan penekanan terhadap rakyat dalam usaha-usaha ASEAN.

    Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan menghadiri forum secara persidangan video yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.

    Selain daripada itu, mengutamakan pendekatan ‘sentiasa bersedia’ dalam membangun komuniti yang lestari dan berdaya tahan menjelang 2025.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menggariskan lima fokus yang perlu juga diambil kira dalam membentuk Rangka Kerja Dasar Serantau iaitu pendekatan strategik dengan dasar yang boleh dilaksanakan, menyelaraskan usaha ASEAN dengan ASEAN Working Group on the Declaration on Culture of Prevention for a Peaceful, Inclusive, Resilient, Healthy and Harmonious Society dan memberikan perhatian kepada cabaran-cabaran mendatang serta menggunakan sepenuhnya kemudahan transformasi digital, untuk mengambil manfaat hasil Kajian Separuh Penggal ASEAN Community Blueprints, mengenal pasti usaha-usaha inovatif dan memahami punca serta impaknya serta menggalakkan masyarakat untuk memainkan peranan aktif ke arah meningkatkan keamanan dan kedayatahanan ASEAN.

    Forum Kebudayaan Peringkat Tinggi itu antaranya telah dihadiri oleh wakil-wakil dari 15 badan sektoral ASCC, entiti luar, pertubuhan bukan kerajaan, institusi penyelidikan atau universiti, pertubuhan masyarakat awam dan para pakar. Forum tersebut telah dimudah cara oleh Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) KKBS, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari, selaku pengerusi SOCA dan Ketua Bahagian Kebudayaan dan Maklumat, Sekretariat ASEAN, Jonathan Tan.

    Forum telah dibahagikan kepada sesi perbincangan panel dan sesi terbuka dengan mengetengahkan beberapa orang ahli panel dari Negara Brunei Darussalam, Kemboja, Filipina dan Jepun.

    Sesi itu telah menyaksikan perkongsian pemikiran dan pengalaman tentang cara-cara menyumbang ke arah perkembangan serta pemupukan budaya perdamaian, toleransi dan pemahaman yang lebih luas bagi mencapai perpaduan serantau khususnya melalui pertukaran rakyat kepada rakyat. Perkongsian pihak-pihak berkepentingan mengenai keberkesanan dasar dan aktiviti juga dibincangkan.

    Hasil Forum itu akan menyumbang kepada penyediaan Regional Policy Framework on Fostering Greater Understanding, Tolerance and a Sense of Regional Agendas Among the Peoples of ASEAN yang dijangka akan menjadi salah satu dokumen yang akan dibentangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38.

    Rangka kerja dasar berkenaan juga berperanan sebagai satu dokumen menyeluruh dalam memandu usaha ASCC ke arah meningkatkan pemahaman, toleransi yang lebih tinggi serta menanamkan agenda serantau di kalangan masyarakat ASEAN. Ia akan membentuk visi dan prinsip yang digariskan oleh beberapa nilai teras serta pegangan, yang akan menggerakkan hasil strategik melalui perspektif isu-isu rentas dan rentas-sektoral.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda