MANILA, FILIPINA, 30 OKT – Mangsa-mangsa runtuhan lumpur yang dicetuskan oleh ribut di sebuah kampung pesisir pantai Filipina yang pernah dilanda tsunami membawa maut, tersilap sangka ombak gadang datang dan lari ke kawasan tinggi di mana mereka tertimbus hidup-hidup oleh banjir lumpur yang sarat dengan batu tongkol, seorang pegawai berkata hari ini.
Sekurang-kurannya 20 mayat, termasuk kanak-kanak, telah dikeluarkan oleh para penyelamat dari timbunan lumpur yang kini meliputi kebanyakan kampung Kusiong di wilayah selatan Maguindanao, antara yang paling teruk terjejas akibat Ribut Tropika Nalgae, yang bergerak keluar dari barat laut Filipina awal hari ini.
Pegawai-pegawai khuatir mungkin 80 hingga 100 orang lagi, termasuk seluruh keluarga, mungkin tertimbus dalam lumpur berkenaan atau dihanyutkan oleh banjir kilat di Kusiong antara tengah malam Khamis dan awal Jumaat, menurut Naguib Sinarimbo, menteri dalam negara bagi rantau autonomi Muslim yang diperintah oleh bekas kumpulan pemisah.
Nalgae, yang membawa awan hujan besar, menyebabkan 73 orang terbunuh di lapan wilayah dan sebuah bandar di kepulauan Filipina, termasuk di Kusiong, serta membawa kemusnahan dan banjir di salah sebuah negara paling terdedah bencana itu.
Bencana di Kusiong itu, sebahagian besar penduduknya terdiri daripada kumpulan minoriti etnik Teduray, lebih tragik kerana lebih 2,000 penduduknya menjalankan latihan bencana setiap tahun selama berdekad-dekad untuk menghadapi tsunami disebabkan sejarah yang membawa maut.
Namun mereka tidak bersedia bagi bencana yang mungkin datang dari Gunung Minandar, di mana kampung mereka terletak di kaki bukit, Sinarimbo berkata.
“Apabila penduduk mendengar bel-bel amaran, mereka lari ke atas dan berhimpun di sebuah gereja di kawasan tinggi,” Sinarimbo memberitahu The Associated Press, memetik cerita-cerita penduduk Kusiong.
“Masalahnya, bukan tsunami yang membanjiri mereka sebaliknya jumlah besar air dan lumpur yang datang dari gunung tersebut,” ujarnya.
Pada Ogos 1976, gempa bumi berukuran 8.1 magnitud dan tsunami di Teluk Moro yang melanda sekitar tengah malam telah mengorbankan beribu-ribu orang dan memusnahkan wilayah-wilayah pantai dalam salah satu bencana semula jadi paling membawa maut dalam sejarah Filipina. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/10/P10-1Filipina_31102022.jpg)