Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersedia tingkat keupayaan

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Bagi mempertingkatkan keupayaan dan ketersediaan pesilat yang mewakili negara pada kejohanan pencak silat Sukan Asia, Ogos nanti, delegasi pesilat negara akan berusaha untuk memperbaiki kelemahan dan menilai kelemahan pihak lawan di samping membuat perangkaan dan perancangan yang sewajarnya, menurut Jurulatih Tanding dan Seni, Hassan bin Haji Tuah.

    “Jika dibandingkan dengan Sukan Asia Tenggara (SEA) yang lalu, pastinya standard Sukan Asia lebih tinggi di rantau ini yang bakal membawa banyak persaingan hebat kepada kita dan setakat ini 10 buah negara sudah pun menghantar wakil negara masing-masing.

    “Tidak dinafikan bahawa kita perlu berhadapan dengan pesilat yang lebih kental seperti pesilat dari negara jiran, Malaysia dan Indonesia, namun saya yakin sekiranya pesilat negara kita mengamalkan sikap bertenang, kita akan berjaya mengawal keadaan dan meneruskan perancangan serta taktik yang diterapkan semasa latihan” katanya.

    Beliau berkata sedemikian ketika ditemu bual oleh Media Permata sejurus kembali daripada mengetuai rombongan pesilat pada Kejohanan Pencak Silat Jemputan ke Sukan Asia.

    Tambahnya, beliau berasa gembira dan bersyukur apabila dua pesilat negara berhasil meraih pingat, menandakan mereka berkemampuan untuk memberi persaingan dan pertentangan yang hebat kepada pesilat yang lebih elit dan berpengalaman.

    Kebanyakan negara yang menyertai telah menghantar wakil utama masing-masing dan ia memberi peluang yang terbaik untuk mencari kelemahan pihak lawan dan memperbaiki kekurangan sebelum hadir ke sukan itu nanti.

    Menurutnya, beliau gembira dengan kemudahan dan standard terkini yang digunakan bagi dimanfaatkan oleh pesilat negara serta meninjau lokasi kejohanan yang bersedia menerima delegasi persilatan dari negara-negara Asia.

    Para pesilat negara akan meneruskan latihan mereka bagi persediaan menjelang sukan itu dan berharap lebih ramai pesilat tempatan akan menyertai skuad silat kebangsaan pada masa akan datang.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda