Oleh Yusrin Junaidi
BELAIT, 29 NOV – Umat Islam diseru untuk terus memperbanyakkan amalan berkebajikan ketika waktu sihat dan bersegera melakukannya demi mengejar pahala yang berlipat ganda.
“Bersegeralah melakukan amal berkebajikan ketika kita diberikan nikmat kesihatan kerana tanpanya kita tidak akan dapat merasai nikmat beribadah dengan sempurna.”
Perkara tersebut merupakan antara inti pati tazkirah bertajuk ‘Bersegeralah dalam Berbuat Amal’ yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait, Haji Akup bin Haji Lamat semasa tazkirahnya di masjid berkenaan.
Beliau dalam tazkirahnya juga menambah bahawa setiap perbuatan itu perlulah disertakan dengan niat serta berazam untuk terus melakukan kebajikan, kerana untuk melakukan amal ibadah ini ia memerlukan keazaman dan pengorbanan.
Tazkirah seumpamanya juga turut diadakan di beberapa buah masjid di Daerah Belait, di mana di Masjid Pekan Seria, tazkirah bertajuk ‘Sifat Mazmumah: Hasad Dengki’ telah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Pekan Seria, Haji Aminorddin bin Haji Mohd Yussof. Beliau dalam tazkirahnya antara lain menekankan mengenai sifat-sifat buruk yang perlu dihindari terutama sifat hasad dengki.
“Hasad dengki yang tertanam di dalam hati boleh mendorong kepada melakukan sifat-sifat buruk yang lain seperti memfitnah, mengumpat, melakukan perkara khianat dan sebagainya. Dengan menjauhi sifat ini, jiwa akan merasa tenang dan lebih berfikiran positif,” tambahnya.
Manakala di Masjid Kampung Labi, tazkirah disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Haji Mohd Nazelly bin Noorashid.
Beliau yang menyampaikan tazkirah bertajuk ‘Manfaatkan Cuti Persekolahan Anak Kitani dengan Sebaiknya’ itu antara lain menekankan mengenai perancangan yang perlu dilakukan oleh ibu bapa semasa cuti persekolahan ini dan mereka juga diseru untuk sentiasa memantau aktiviti anak-anak mereka untuk mencegah sebarang masalah sosial daripada berlaku.
“Selain itu perbanyakan juga aktiviti keagamaan untuk menerapkan akidah ugama yg kental di hati anak-anak,” tambahnya.
Selain untuk memakmurkan masjid dan mengembangkan syiar Islam, program takzirah tersebut juga bertujuan untuk menambah ilmu pengetahuan para jemaah dan sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim.
