(Dengan nama Allah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
SIRI 2
Berselawat di dalam dan di luar sembahyang
I) Di dalam sembahyang
Di dalam mazhab Syafi‘e, selawat wajib dibaca pada tempat-tempat tertentu, iaitu:
A) Selepas membaca tasyahhud pada tasyahhud akhir di dalam sembahyang
Berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam merupakan salah satu rukun dalam sembahyang. Ia dilafazkan sesudah membaca tasyahhud pada raka‘at akhir di dalam sembahyang dan sebelum salam.
Sekurang-kurang lafaz selawat ialah yang membawa erti, “Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad.”
Manakala lafaz yang sempurna ialah selawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wassalam, kemudian kepada ahli keluarga Baginda, kepada Nabi Ibrahim ‘alaihissalam serta keluarga Baginda.
Lafaz tersebut ialah yang membawa erti, “Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan kurniakanlah barakah kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah mengurniakan barakah kepada Ibrahim.
Sesungguhnya Engkau adalah zat yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”
B) Selepas takbir kedua di dalam sembahyang jenazah
Membaca selawat selepas takbir kedua dalam sembahyang jenazah. Sekurang-kurang bacaan selawat itu ialah yang membawa erti, “Ya Allah, kurniakanlah selawat kepada Nabi Muhammad.”
Manakala mengucapkan selawat ke atas kaum kerabat Baginda seperti bacaan dalam tahiyyyat akhir adalah tidak wajib, akan tetapi disunatkan sahaja.
C) Pada khutbah di dalam sembahyang Jumaat, sembahyang Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha
Berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wassalam pula merupakan salah satu daripada rukun pada khutbah pertama dan kedua. Ia disebut selepas kalimat hamdalah iaitu lafaz pujian bagi Allah SWT.
II) Di Luar Sembahyang
Berselawat di luar sembahyang pula bukanlah satu perkara yang diwajibkan, namun ia adalah digalakkan. Ia digalakkan pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira waktu.
Walau bagaimanapun terdapat beberapa waktu dan tempat di mana umat Islam diutamakan untuk berselawat. Antaranya:
A) Ketika seseorang menyebut nama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam
B) Pada hari Jumaat dan pada malamnya
C) Pada waktu Subuh
D) Pada waktu petang
E) Ketika hendak memasuki masjid
F) Ketika hendak keluar dari masjid
G) Ketika berada di makam Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam
H) Ketika hendak berdoa
I) Ketika selesai berdoa
J) Di akhir khatam Al-Qur’an
K) Ketika dalam kesedihan dan kesusahan
L) Ketika memohon keampunan
M) Ketika menyampaikan ilmu kepada orang ramai
N) Ketika memberi nasihat atau tunjuk ajar
O) Ketika menyampaikan pelajaran
P) Dalam perkumpulan orang ramai
Q) Ketika bersurai daripada perkumpulan
Pada setiap tempat dan waktu di mana orang ramai berkumpul untuk mengingati Allah seperti majlis-majlis keagamaan dan yang seumpamanya.
Adab Menyebut Nama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam
Menyebut nama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam juga ada adabnya. Sudah menjadi kebiasaan para ulama Salaf jika menyebut atau mendengar nama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, mereka selalu berselawat dan bersekali dengan ucapan salam kepada Baginda.
Dua lafaz yang sering mereka ucapkan dalam berselawat dan salam itu iaitu yang membawa erti : “Semoga Allah memberikan selawat dan salam kepada Baginda”. Atau “Ke atas Baginda selawat dan salam”.
Para ulama telah berwasiat kepada umat Islam agar selalu berusaha untuk menjaga lafaz (selawat dan salam) tersebut secara sempurna. Berkata Imam an-Nawawi Rahimahullah di dalam kitab al-Adzkar:
Ertinya: “Jika seseorang berselawat kepada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam, maka hendaklah dia mengumpulkan selawat dan salam (kedua-duanya) sekali, dan janganlah dipisahkan antara keduanya. Maka tidak boleh dia berkata: Sallahualaihi atau ‘alaihi Salam sahaja.”
Begitu juga di dalam penulisan, umat Islam dituntut untuk menulis selawat dan salam tersebut dengan sesempurna mungkin setiap kali menulis nama Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.
Sungguh indah kehidupan seorang muslim yang menghiasi lidahnya dengan selawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam.
Ia jelas menunjukkan tanda ingatan dan kasih sayang terhadap Baginda Sallallahu ‘alaihi Wasallam.
Ingatan dan tanda kasih sayang ini pula dibalas oleh Baginda sendiri melalui ganjaran yang tidak terhingga, antaranya mendapat kedudukan yang istimewa dan syafa‘at Baginda di hari kiamat.
Manakala di sisi Allah Subhanahu wa Ta‘ala pula, curahan rahmat dan kebajikan diperolehi daripada Allah. Rugilah kita apabila peluang ini diabaikan begitu sahaja.