Oleh Yusrin Junaidi –
Golongan pelajar, guru-guru dan ibu bapa tidak terkecuali dalam meraikan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40.
Diadakan secara berasingan, Kumpulan Al-Uswah Kesatuan Ibu Bapa Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), warga Sekolah St Angela dan Sekolah Fairview masing-masing telah menzahirkan semangat perpaduan mereka baru-baru ini.
TURUT SERTA DALAM PERBARISAN LALU
Kumpulan Al-Uswah Kesatuan Ibu Bapa Alumni PKBN baru-baru ini memeriahkan Upacara Kemuncak Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam yang ke-40 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Haji Sohaili bin Haji Mohidi selaku pengasas dan pengerusi kesatuan tersebut yang sempat ditemu bual berkata, persatuan berkenaan mula ditubuhkan sewaktu pengambilan PKBN ke-7 sesi 2017/2018.
Menurut beliau, seramai 75 orang ahli yang menyertai Kumpulan Al-Uswah yang terdiri dari kalangan keluarga para pelatih PKBN12 sesi 2023/2024 dan juga beberapa orang ahli Jawatankuasa (AJK) Al-Uswah serta seorang ahli Majlis Mesyuarat Negara dan merasa bangga serta bertuah atas komitmen semua ahli pasukan yang begitu bersemangat dan penuh disiplin sejak awal mula latihan diadakan selama dua minggu sehingga ke hari kemuncaknya.

– GAMBAR SERAHAN SEKOLAH FAIRVIEW


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan atas peluang yang amat berharga saban tahun dan diberikan ruang menyertai perbarisan lalu HK40.
Menurut salah seorang AJK Perhubungan, Dayang Siti Nooriah binti Haji Muhammad Bokhari pula, sebagai ahli baharu dalam kesatuan tersebut menyatakan rasa bertuah kerana di samping melihat kelibat kedua-dua anak beliau yang sedang menjalani latihan di Kem PKBN Temburong, beliau dan dua orang lagi anak-anak perempuannya juga turut sama menyahut semangat untuk mengikuti perbarisan lalu dalam Kumpulan Al-Uswah.
Manakala seorang lagi dari AJK Media, Awang Ali bin Mohd Salleh pula tidak menyangka setelah bersara daripada Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), beliau masih diperlukan dan diberikan ruang untuk berkhidmat dalam hal ehwal kemasyarakatan sebagai jurugambar utama dan yang juga bertanggungjawab dalam mewujudkan dan menyelenggara ruangan media sosial Kumpulan Al-Uswah.
Sementara itu, Haji Sohaili juga menambah bahawa beliau yakin Kumpulan Al-Uswah akan terus mampu memberikan komitmen dan sokongan padu kepada pihak Bahagian Khidmat Bakti Negara (BKBN), PKBN dan juga kepada para pelatih PKBN secara berterusan atas hubungan baik dan erat di antara ibu bapa dan keluarga pelatih setiap pengambilan bersama para pegawai dan kakitangan BKBN/PKBN demi sama-sama berganding bahu dalam membentuk generasi belia yang mempunyai iltizam, berdaya saing, berilmu, beriman, berintegeriti, berakhlak dan mempunyai jati diri sebagai pelapis pemimpin dan rakyat jelata yang terus mempertahankan institusi kenegaraan Melayu, Islam, Beraja yang berdaulat dan kekal merdeka serta makmur zaman-berzaman.
SEMAI SEMANGAT PATRIOTIK
Sekolah St Angela, Seria turut tidak melepaskan peluang dengan mengadakan perkumpulan khas bagi Sambutan Hari Kebangsaan ke-40 yang diadakan di perkarangan sekolah.
Objektif sambutan itu adalah untuk menyemai dan memupuk nilai patriotisme dalam kalangan warga sekolah dan penuntut sekolah.
Sambutan pada hari itu dimulakan dengan bergambar ramai sambil membuat lambang 40. Acara diteruskan dengan perarakan mengelilingi kawasan lapang sekolah.
Seterusnya, acara diikuti dengan menaikkan bendera Negara Brunei Darussalam dan nyanyian lagu kebangsaan.
Pengetua Sekolah, Chea Wann Ching, dalam ucapannya menyentuh mengenai Hari Kebangsaan dan sejarah Brunei ketika mencapai kemerdekaan.
Setelah itu, bacaan ikrar dan laungan Allahuakbar tiga kali telah dikumandangkan oleh pengawas sekolah.
Antara aktiviti sambutan yang lain ialah nyanyian beramai-ramai oleh guru dan penuntut sekolah dengan lagu patriotik yang berjudul Tekad Kemerdekaan, serta kuiz mengenai Brunei Darussalam dan sejarahnya.
Acara tersebut diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
LAHIR RASA CINTA TERHADAP NEGARA
Dalam pada itu, Sekolah Fairview telah mengadakan Sambutan Hari Kebangsaan peringkat sekolah pada 26 Februari lalu bertempat di sekolah tersebut di Kampung Manggis Satu.
Tujuan acara tersebut diadakan adalah untuk melahirkan rasa cinta terhadap negara, membangkitkan semangat kemerdekaan, memupuk semangat patriotisme dan perpaduan serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan warga sekolah.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Ketua Pentadbiran Sekolah Fairview, Datin Paduka Hajah Fatimah binti Dato Paduka Haji Mohd Husain.
Acara tersebut diserikan dengan persembahan nyanyian lagu patriotik daripada murid-murid tadika, murid-murid rendah bawah dan rendah atas serta deklamasi sajak yang disampaikan oleh murid Tahun 5, Dayang Nur Irtiyah Asyura @ Fitriyah binti Mohd Ramzul.
Pada hari tersebut, terdapat juga soalan kuiz berkaitan dengan Negara Brunei Darussalam dan Hari Kebangsaan yang dibukakan kepada murid-murid sekolah berkenaan. Dengan adanya kuiz ini, murid-murid dapat meningkatkan keyakinan diri supaya berani tampil ke hadapan bagi menjawab soalan di samping menambah ilmu pengetahuan.
Sebelum itu, pelbagai aktiviti bertemakan Hari Kebangsaan telah diadakan di dalam kelas pada 19 hingga 22 Februari lalu. Antara aktiviti yang diadakan ialah aktiviti mewarna, membuat penanda buku, poster, poskad dan kad ucapan. Acara juga diselajurkan dengan penyampaian hadiah kepada pemenang kuiz dan aktiviti terbaik di dalam kelas.
Dengan sambutan yang diadakan itu, diharapkan agar ia dapat memupuk semangat kemerdekaan dalam diri murid-murid sebagai generasi pelapis negara. Selain itu, ia juga diharapkan agar murid-murid dapat merasai dan mengekalkan kemerdekaan yang telah dicapai selama ini.

