Thursday, May 1, 2025
31.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan: Kesannya terhadap wudhu’

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Ketiga

    Tidak ada hubungan mahram di antara keduanya yakni ajnabi

    Maksud mahram dalam permasalahan ini ialah orang yang haram dinikahi selama-lamanya yakni mahram mu’abbad atas sebab keturunan atau atas sebab susuan ataupun atas sebab mushaharah (perkahwinan).

    Untuk lebih jelas lagi, sebagai contoh, bagi seorang lelaki, mahramnya kerana keturunan adalah seperti berikut: (i) Ibu kandung, termasuk nenek dan seterusnya ke atas; (ii) Anak perempuan kandung, termasuk cucu dan seterusnya ke bawah; (iii) Adik beradik perempuan seibu sebapa; (iv) Adik beradik perempuan sebapa; (v) Adik beradik perempuan seibu; (vi) Emak saudara sebelah bapa (adik-beradik bapa) dan seterusnya ke atas; (vii) Emak saudara sebelah ibu (adik-beradik ibu) dan seterusnya ke atas; (viii) Anak perempuan dari adik-beradik lelaki mahupun dari adik-beradik perempuan (anak kemanakan).

    Sementara mahramnya kerana susuan pula adalah seperti berikut: (i) Ibu susuan; (ii) Ibu kepada ibu susuan; (iii) Ibu kepada bapa susuan (suami ibu susuan); (iv) Adik-beradik perempuan kepada ibu susuan; (v) Adik-beradik perempuan kepada bapa susuan; (vi) Anak perempuan kepada ibu dan bapa susuan (adik-beradik seibu sebapa susuan); (vii) Anak perempuan kepada ibu susuan (adik-beradik seibu susuan); (viii) Anak perempuan kepada bapa susuan (adik-beradik sebapa susuan).

    Manakala mahram kerana mushaharah pula adalah seperti berikut: (i) Emak mertua; (ii) Anak menantu; (iii) Emak tiri; (iv) Anak tiri.

    Adapun orang yang haram dinikahi bukan atas sebab keturunan, susuan ataupun mushaharah, umpamanya anak perempuan serta ibu kepada perempuan yang diwathi’ (disetubuhi) secara syubhah, perempuan kafir, murtad atau sebagainya, bersentuhan kulit dengan mereka juga akan membatalkan wudhu’.

    Gambar Envato Elements

    Maka dari itu, setiap sentuhan yang berlaku antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram tanpa berlapik, sama ada diiringi syahwat ataupun tidak, walaupun sentuhan itu hanya berlaku sedetik sahaja, adalah membatalkan wudhu’ walaupun lelaki itu adalah seseorang yang tidak cenderung atau sudah tidak memiliki nafsu terhadap perempuan, umpamanya lelaki yang tidak memiliki alat kelamin atau bijinya atau kedua-duanya sekali atau sudah putus alat kelaminnya dan sebagainya.

    Begitu juga bersentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan yang pada kebiasaannya tidak lagi membangkitkan syahwat, umpamanya perempuan tua atau hodoh, tetap membatalkan wudhu’.

    Beberapa permasalahan lain tentang perkara bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan

    Selain permasalahan yang telah disebutkan sebelum ini, terdapat beberapa permasalahan lain yang penting untuk diketahui berkaitan perkara bersentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ini. Antaranya:

    Bersentuh Kulit Dengan Orang Yang Tidak Diketahui Adakah Mahram Atau Ajnabi:
    Menurut Syeikh ad-Darimi Rahimahullah, sekiranya seorang lelaki itu tidak pasti adakah perempuan itu mahramnya ataupun bukan, sebagai contoh, dia tidak pasti adakah perempuan itu saudara susuannya ataupun bukan, ataupun dia menganggap perempuan itu mahramnya berdasarkan sangkaannya semata-mata, sekiranya tersentuh kulit di antara mereka maka yang demikian itu tidak membatalkan wudhu’ keduanya kerana menurut hukum asal dia masih dikira kekal dalam thaharah.

    Bersentuh Kulit Sesama Mahram Dengan Syahwat:

    Tidak batal wudhu’ seorang lelaki yang menyentuh perempuan mahramnya begitu juga tidak batal wudhu’ perempuan yang menyentuh mahram lelakinya walaupun sentuhan itu diiringi syahwat. Ini kerana menurut ulama, menyentuh mahram pada kebiasaannya tidak akan menimbulkan syahwat.

    Demikian beberapa penjelasan tentang kesan bersentuhan kulit antara lelaki dengan perempuan terhadap wudhu’. Mudah-mudahan penjelasan ini dapat membantu memantapkan lagi ilmu kita khususnya dalam mengetahui perkara-perkara yang membatalkan dan tidak membatalkan wudhu’.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda