Saturday, March 15, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berserah sepenuh hati kepada kehendak Allah

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 JUN – Aidiladha yang diraikan mengingatkan tentang kisah perjuangan dan pengorbanan agung Nabi Ibrahim AS yang bersabar menghadapi ujian semata-mata untuk mencari keredaan Allah serta memartabatkan agama Islam.

    Dalam meraikan Aidiladha ini, wajib untuk mencontohi jejak langkah Nabi Ibrahim AS dalam memperjuangkan dan menegakkan agama Allah.

    Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan menegaskan perkara itu semasa menyampaikan khutbah Hari Raya Aidiladha di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, hari ini.

    “Orang Islam hendaklah berserah diri kepada kehendak Allah bulat-bulat tanpa ada batasnya, menerima Islam tidak boleh mengikut selera sendiri dan apabila mengaku beriman kepada Allah, tidak boleh menerima sebahagian perintah Allah dan menolak sebahagian yang lain,” tegasnya.

    Beliau seterusnya menekankan, kita tidak boleh memilih perintah yang mahu dipatuhi dan perintah yang ingin diketepikan, segalanya hendaklah tunduk kepada acuan yang telah ditetapkan oleh Islam.

    Gambar Freepik

    Sama ada dalam senang mahu pun susah, lapang atau sibuk, tunduk dan patuh kepada Allah dan reda kepada segala perintah, larangan dan qadaNya itu semestinya menjadi cara hidup setiap Muslim. Tidak ada yang tertinggal melainkan seorang Muslim akan sedaya upaya melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah,” jelasnya.

    “Seorang Muslim yang benar-benar beriman, pasti yakin apa yang terkandung dalam suruhan Allah dan larangNya itu hanya kebaikan semata-mata,” tambahnya.

    Pengiran Dato dalam khutbahnya turut menjelaskan erti Islam menyerah iaitu menyerah tunduk patuh kepada kehendak Allah Yang Maha Berkuasa dengan mentauhidkannya dengan penuh keyakinan serta melaksanakan suruhan dan meninggalkan laranganNya.

    Beliau seterusnya menjelaskan bahawa beberapa pertanyaan perlu dijawab dalam diri masing-masing untuk menguji sama ada sudah betul-betul berserah diri dan tunduk kepada kehendak Allah dalam erti kata melaksanakan perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

    Sesuai dengan pengakuan itu, beliau seterusnya menyeru untuk sama-sama berserah diri kepada kehendak Allah sebenar-benarnya, tingkatkan penyerahan diri kepada Allah sampai kepada tingkat penyerahan mutlak.

    Ini bermakna segala yang telah ditetapkan oleh Islam meliputi niat, pemikiran, percakapan dan perlakuan di peringkat peribadi dan keluarga, sebagai anggota masyarakat mahupun bernegara, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, budaya, organisasi mahupun sebagainya.

    “Kita harus berazam dan bertekad untuk mendukung Islam yang mengajarkan nilai-nilai luhur sebagai satu cara hidup yang lengkap bagi terus dinikmati di bumi bertuah ini.

    “Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim AS adalah manifestasi lambang ketundukan, ketaatan dan kepatuhan yang cukup tinggi daripada seorang hamba dalam mentaati perintah Allah yang mana kisah pengorbanan mereka telah menjadi pengetahuan umum kepada seluruh umat manusia,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda