Oleh Daniel Lim
KUALA BELAIT, 8 Mei – Seramai 52 orang murid Tadika 3 dari Seksyen Tadika Sekolah Menengah Chung Ching (CCMS) telah dibawa melawat ke pelbagai lokasi di Daerah Belait untuk mendedahkan mereka kepada pelbagai pengalaman bagi meluaskan pengetahuan.
Lawatan berkenaan adalah sebahagian daripada Program Selepas Sekolah (ASP) Shining Star yang direka dan disediakan oleh semua guru di bahagian tadika sekolah berkenaan, dengan fokus ke atas membolehkan para murid seronok belajar di luar bilik kelas sementara memberikan mereka pengalaman pembelajaran sebenar.
Selain itu, pengalaman berkenaan juga membantu meluaskan pengetahuan mereka sekali gus meningkatkan pencapaian akademik keseluruhan.
Bagi program berkenaan, murid-murid berkenaan telah dibahagikan kepada empat kumpulan dengan tema Superheroes yang mana setiap kumpulan diberi nama ‘Captain America’, ‘Spiderman/ Spidergirl’, ‘Batman/ Batgirl’ dan ‘Superman / Supergirl’.
Kumpulan-kumpulan berkenaan mengikuti 10 sesi aktiviti keseluruhannya yang diadakan pada setiap petang Selasa dan Khamis. Aktiviti-aktiviti berkenaan diakhiri dengan seni dan kraf tangan, masakan, sukan, menonton filem dan lawatan sambil belajar yang diketuai oleh guru-guru mereka, Azmina dan Emelia. ASP tahun ini bermula dengan membawa murid-murid berkenaan menonton filem adiwira di Pusat Membeli-Belah KBSentral dengan guru-guru yang bertanggungjawab meranang dan menyediakan dua lagi kelas masakan di mana muri-murid menyediakan kebab buah-buahan dan puding jeli bertema adiwira yang kemudian akan mereka nikmati sendiri.
Selain itu, murid-murid berkenaan juga mengikuti aktiviti-aktiviti kesenian dan kraf tangan di mana mereka menggunakan pelbagai bahan berlainan untuk membuat topeng dan mantel adiwira serta banyak lagi.
Aktiviti-aktiviti berkenaan bukan sahaja direka untuk mengembangkan kemahiran praktikal mereka tetapi juga memberi ruang untuk menggunakan imaginasi dan kreativiti mereka.
Sesi terakhir bagi ASP tahun ini adalah lawatan sambil belajar ke Balai Polis Seria di mana me-reka berpeluang bertemu adiwira sebenar dalam kehidupan.
Dengan berakhirnya ASP tahun ini, murid-murid yang berjaya menamatkan program tersebut diberikan sijil.