Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Bahagian Sekolah Rendah Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) telah mengumpul lebih $10,280 pada Minggu Pengumpulan Dana tahunan pada tahun lepas bagi menyokong beberapa badan amal tempatan.
Menurut JIS, dana yang dikumpulkan berkenaan akan digunakan untuk kanak-kanak berkeperluan khas, dengan berunding bersama Unit Keperluan Khas, Kementerian Pendidikan.
Sekolah Rendah JIS memberikan kanak-kanak berkenaan peralatan pakar untuk membantu mereka meningkatkan pembelajaran dan mobiliti mereka.
Ketua Sekolah Rendah JIS, Paul Bannister dipetik berkata, “Minggu Pengumpulan Dana tahunan kami menyediakan peluang yang baik untuk anak-anak kami untuk secara aktif memberikan sesuatu kembali kepada masyarakat Brunei yang lebih luas”.
Para pelajar Sekolah Rendah JIS telah bersemangat menyertai aktiviti yang diadakan sepanjang minggu kerana ia merupakan salah satu acara yang dinanti-nantikan dalam kalendar akademik sekolah itu.
Antara aktiviti yang menyeronokkan adalah Dollar for a Job, di mana pelajar menyimpan buku kecil untuk menjejaki pekerjaan yang telah dilakukan mereka untuk membantu di sekitar rumah.
Selain itu, aktiviti lain adalah Wet Sponge a Teacher, Bake Sale, Coin Drop, Launch a Teddy, Favourite Character Dress Up Day dan Disco on the Helipad.