(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan
Pergaulan suami isteri menjadi halal setelah bernikah. Suami isteri bukan sahaja boleh bersentuhan dan melihat aurat antara mereka, bahkan juga boleh jima‘ iaitu bersetubuh.
Namun begitu kedudukan hukum bersetubuh ketika menunaikan ibadah haji atau umrah adalah berbeza. Suami dan isteri adalah haram melakukan persetubuhan ketika masih dalam ihram haji ataupun umrah.
Larangan mengenai perkara ini terkandung dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:
(Musim untuk mengerjakan ibadah) haji itu adalah pada beberapa bulan yang termaklum. Oleh itu sesiapa yang telah mewajibkan ke atas dirinya (dengan niat ihram mengerjakan) ibadah haji pada bulan-bulan itu, maka dia tidak boleh mencampuri isterinya dan tidak boleh berbuat maksiat dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadah haji.
Dan apa jua kebaikan yang kamu kerjakan ianya diketahui oleh Allah. Dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya maka sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa. Dan bertaqwalah kamu kepadaKu wahai orang-orang yang mempunyai akal (yang dapat memikir dan memahaminya). (Surah al-Baqarah: 197)
Ibn Katsir Rahimahullah mentafsirkan perkataan “ar-rafatsu” bermaksud “al-jima‘” iaitu persetubuhan dan pendahuluannya seperti merangsang syahwat dan bercumbuan.

PERSETUBUHAN DALAM IHRAM HAJI ATAU UMRAH
Ada banyak perkara yang diharamkan ke atas orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah untuk melakukannya ketika dalam ihram.
Perkara keempat yang diharamkan melakukannya dalam ihram sebagaimana disebut oleh asy-Syaikh al-Khathib asy-Syarbini Rahimahullah dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj ialah bersetubuh (jima‘). Beliau berkata yang ertinya:
Keempat daripada perkara yang diharamkan (ketika berihram ialah) persetubuhan.
Maksud persetubuhan yang diharamkan itu ialah memasukkan zakar atau kadar hasyafah (kepala) zakar ataupun kadar sisa zakar yang terpotong ke dalam qubul atau dubur perempuan sama ada dia itu isteri, perempuan yang dimiliki ataupun perempuan asing dalam bentuk zina, liwath ataupun persetubuhan ke atas binatang, sama ada hidup ataupun mati, sekalipun zakarnya berbalut dengan kain.
Begitu juga haram melakukan pendahuluan jima‘ seperti mengucup perempuan, memandang, memegang, berpelukan dengan perasaan berahi atau syahwat walaupun tidak mengeluarkan air mani.
Dari segi kewajipan membayar dam, jika memandang dengan perasaan berahi atau syahwat dan mengucup secara berlapik hukumnya adalah haram tetapi tidak wajib membayar dam walaupun sehingga menyebabkan keluar air mani.
Selain daripada itu melakukan pendahuluan jima‘ seperti berpegangan atau berpelukan adalah dikenakan dam walaupun tidak menyebabkan keluar air mani, jika perbuatan itu dilakukan secara sengaja dan dengan perasaan berahi atau syahwat.
TAHALLUL AWWAL DAN TAHALLUL TSANI
Tahallul awwal dan tahallul tsani hanya dikaitkan dengan ibadah haji sahaja kerana ibadah umrah hanya ada tahallul awwal sahaja.
Perlu diingat bahawa ada perkara-perkara yang haram dilakukan ketika berihram itu boleh dilakukan setelah tahallul awwal dan ada juga perkara-perkara yang haram dilakukan ketika berihram itu hanya boleh dilakukan setelah tahallul tsani.