Sunday, December 1, 2024
22.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersih kubur menjelang Ramadan

    Oleh Siti Nur Wasimah S., Yusrin Junaidi, Sim Y. H. & Imelda Groves HA

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Mei – Sempena menjelangnya bulan Ramadan, pelbagai pihak telah menganjurkan kempen membersihkan tanah perkuburan bagi menanamkan semangat bergotong-royong melakukan kerja-kerja berkebajikan dalam kalangan warga perkhidmatan awam, belia-belia serta orang awam bagi sama-sama menjaga kebersihan dan keselesaan semasa menziarahi tanah perkuburan.

    Pagi tadi, Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Majlis Perundingan Kampung (MPK) Subok dan Kampung Belimbing, Unit Tanah Perkuburan Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta Jabatan Bandaran, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri telah mengadakan Kempen Memelihara Warisan Sejarah yang merupakan kempen kebersihan di Perkuburan Islam Dagang/Residensi.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Kota Batu, Yang Berhormat Awang Naim bin Haji Kamis.

    Tempat itu dipilih adalah kerana ia merupakan salah sebuah tempat bersejarah yang ada kaitannya dengan persejarahan Brunei yang mana kawasan ini letaknya Makam Sultan Nasruddin, Sultan Brunei ke-15 yang memerintah pada tahun 1960 dan Baginda juga dikenali dengan nama ‘Marhum di Kianggeh’.

    Mengikut penyelidikan terdahulu, selain makam Sultan Nasruddin, terdapat juga beberapa buah makam Sultan Brunei yang dimakamkan di kawasan tanah perkuburan tersebut.

    Yang Berhormat Awang Naim sebelum menyertai kempen kebersihan di Perkuburan Islam Dagang/Residensi.

    Kempen kebersihan itu adalah bertujuan untuk memberi kesedaran serta menarik dan memupuk minat masyarakat khususnya para belia dalam menjaga tinggalan-tinggalan warisan sejarah negara.

    Menerusi kempen ini diharapkan ia akan dapat mendukung serta menjamin untuk mengekalkan khazanah daripada terus terbiar tanpa penjagaan yang selayaknya khususnya generasi masa kini dan akan datang.

    Sementara itu, ahli-ahli Pengawasan Kejiranan (PK) Kampung Sengkarai dan Penabai di Daerah Tutong bersama anggota Balai Polis Tutong telah mengadakan dua kempen serupa yang diselajurkan dengan majlis bertahlil di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sengkarai, Tutong.

    Kempen berkenaan telah melibatkan 23 orang anggota Balai Polis Tutong dan lapan orang ahli PK yang berakhir kira-kira jam 10 pagi.

    Manakala satu lagi kempen membersihkan tanah perkuburan bersama Pengawasan Kejiranan Lubok Pulau turut dijalankan di tanah perkuburan orang-orang Islam Pangkalan Jalur Lubok Pulau, Tutong.

    Kempen itu bermula pada jam 7 pagi dengan dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Penghulu Mukim Tanjung Maya, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong; Ketua Kampung Lubok Pulau, Haji Abdul Rahman bin Samad; dan Ketua Kampung Tanjong Maya, Haji Suif bin Mohd Yusof, ahli-ahli PK Lubok Pulau serta penduduk kampung.

    Enam penerima sijil PK Kampung Mukim Gadong ‘B’ bergambar ramai setelah menerima sijil penghargaan dari Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan.

    Terdahulu pada malamnya, Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan telah mengadakan majlis penyampaian sijil penghargaan kepada enam orang penerima sijil PK Kampung Mukim Gadong ‘B’ yang disampaikan oleh Pemangku Pegawai Menguasa Balai Polis Pusat BSB, Penolong Penguasa Polis (ASP) Mohd ‘Izzuddin Hanis bin Haji Mohd Salleh.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Kampung Mata-Mata, Haji Metali bin Haji Kamis dan ahli PK Kampung Mata-Mata Mukim Gadong ‘B’.

    Majlis diselajurkan dengan sembahyang Fardu Maghrib serta membaca Surah Yasin dan bertahlil yang diketuai oleh Imam Masjid Kampung Mata-Mata, Haji Isa bin Haji Saban dan diakhiri dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah di Balai Ibadah kampung tersebut.

    Bacaan tahlil dan Doa Arwah yang diadakan selepas kempen membersihkan tanah perkuburan. – Gambar oleh MPK Tanjong Bunut

    Manakala itu, ?MPK Tanjong Bunut dan penduduk kampung juga mengadakan kempen membersihkan Tanah Perkuburan Sipayau dan Tanah Perkuburan Pakuan diikuti membaca tahlil serta Doa Arwah, hari ini.

    Kempen itu merupakan salah satu aktiviti kebajikan yang biasa diadakan sebelum menjelang bulan Ramadan yang disertai oleh ahli-ahli MPK Tanjong Bunut dan Penduduk Kampung.

    Kerja amal itu dihasratkan mengeratkan lagi hubungan silaturahim kalangan MPK dan penduduk dalam melaksanakan kempen membersihkan kubur dan memupuk sifat kemesraan serta saling bantu-membantu membuat kerja-kerja amal.

    Satu lagi aktiviti membersihkan tanah perkuburan juga diadakan di Tanah Perkuburan Islam Pandaian, Kampung Limbungan anjuran Masjid Kampung Perpindahan Mata-Mata yang bertujuan untuk membuat persiapan menjelang Ramadan sambil mengeratkan hubungan silaturahim kalangan pihak penganjur dan para peserta yang mengikuti kempen tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda