BANDAR SERI BEGAWAN, 26 April – Bersempena kedatangan bulan Ramadan yang bakal menjelang tidak lama lagi, Pusat Pakar Pantai Jerudong (PJSC) dan Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) menganjurkan kempen membersihkan tanah perkuburan Islam di dua lokasi di Kampung Jerudong.
Kempen bermula hari ini dengan sesi pertama diadakan di Tanah Perkuburan Islam Jelutong Lampong, Kampung Jerudong dan akan diteruskan dengan sesi kedua minggu depan, 3 Mei, di Tanah Perkuburan Bebindai, Kampung Jerudong.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, lebih 40 orang sukarelawan dari PJSC dan JPMC menyertai kempen, hari ini dan turut hadir ialah Pengarah Eksekutif PJSC, Dr Haji Awang Mazrul Adimin bin Haji Awang Besar.
Kempen diakhiri dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Awang Ishkandar bin Haji Buntar bagi mengingati mereka yang telah pergi.
Kenyataan menyatakan, selaras dengan tanggungjawab sosial korporat dan nilai-nilai teras kedua-dua organisasi, PJSC dan JPMC berharap untuk memberi impak positif kepada masyarakat pada masa yang sama menyumbang kepada negara menerusi kempen berkenaan dan lebih banyak kempen lain pada masa akan datang.
