Oleh Daniel Lim
BELAIT, 12 JUN – Seramai 103 peserta yang terdiri daripada pelajar dan guru dari Sekolah Arab Belait (SAB) telah berganding bahu membersihkan kawasan pesisir pantai berdekatan Taman Jubli Perak, sebagai sebahagian daripada kempen pembersihan pantai bertajuk ‘Maritah Membersih Pantai’ anjuran sekolah tersebut baru-baru ini.
Kempen berkenaan dianjurkan oleh SAB Green Revolutionaries (Unit 2K) dengan tujuan untuk memupuk kesedaran alam sekitar selaras dengan misi sekolah dalam mempromosikan amalan hijau dan kelestarian alam.
Sebanyak 311 kilogram sampah berjaya dikutip sepanjang kempen tersebut, termasuk botol plastik dan jaring yang dilupuskan dengan cara yang betul selepas aktiviti selesai.
Sampah-sarap yang dikumpulkan menjadi peringatan kepada para peserta khususnya para pelajar tentang betapa banyaknya sampah yang terapung di lautan seluruh dunia dan kesan buruknya terhadap kehidupan marin.
Kempen itu juga merupakan sebahagian daripada usaha sekolah untuk merealisasikan inisiatif Sekolah Hijau dan melahirkan generasi pelajar baharu yang akan menjadi Wira Sisa, iaitu individu yang aktif mempromosikan amalan hijau dan kelestarian alam sekitar.
Semua di atas: Suasana semasa aktiviti berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN SAB

