Bersikap jujur dalam melaksanakan tugas

Saya tertarik dengan satu artikel yang bertajuk ‘Jangan permainkan kami sebagai runner’ yang dikirim oleh Runner Unite dalam ruangan pendapat pembaca dalam Media Permata bertarikh 22 April 2020.

Di mana di dalam artikel ini pengirim meluahkan hakikat sebagai seorang runner yang ditipu oleh pelanggan.

Namun, saya cuba bangkitkan satu persoalan di sini iaitu bagaimana pula dengan hakikatnya pelanggan yang ditipu oleh runner?

Persoalan ini dibangkitkan kerana ia terjadi pada diri saya sendiri baru-baru ini.

Saya melanggan beberapa khidmat runner ini dan rata-rata semuanya tidak berlaku jujur. Hal ini kerana mereka membuka tanda harga dan memberitahu dengan nilai harga yang lain demi mendapat keuntungan lebih.

Saya dapati apabila saya sendiri melihat ke kedai yang saya suruh runner berkenaan untuk membeli pesanan saya dan ternyata harganya jauh lebih murah berbanding dengan harga yang diberitahu.

Apa guna mereka menipu sedangkan saya seringkali memberi bayaran lebih dari yang dipinta. Apabila ditanya tentang resit bayaran, berbagai-bagai alasan diberikan.

Saya sering menggunakan khidmat runner ini dengan niat untuk membantu sesetengah mereka yang menjadikan pekerjaan runner ini sebagai hasil pendapatan.

Namun akibat sikap tidak jujur mereka sendiri, membuatkan pelanggan tidak mempercayai mereka dan tidak lagi mahu melanggan.

Malah, ’kerana setitik nila, habis susu sebelanga,’ di mana kerana sikap menipu mereka telah menjejaskan runner lain yang jujur.

Pembeli Tertindas