Saturday, April 19, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersungkai dalam pesawat boeing

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 APRIL – Seramai 43 orang anak yatim dan 17 orang berkeperluan khas (OBK) telah menerima sumbangan derma daripada Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) pada Majlis Bersungkai Bersama Anak-anak Yatim dan Orang-orang Berkeperluan Khas 2021/1442 yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan derma ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin selaku pengerusi RB.

    Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif RB, Kapten Haji Khalidkhan bin Haji Asmakhan yang turut menyampaikan derma pada majlis tersebut.

    Dalam ucapan alu-aluannya, Kapten Haji Khalidkhan berkata, bagi sama-sama menikmati dan memeriahkan bulan Ramadan pada tahun ini, mereka membawa sedikit pembaharuan dan keunikan pada pendekatan RB dalam memelihara kesejahteraan dan kebajikan warga RB.

    “Berbeza daripada kelazimannya, pada tahun ini, RB bukan sahaja meraikan anak-anak yatim, tapi meluaskan inisiatifnya dengan turut meraikan orang-orang berkeperluan khas,” ujar Kapten Haji Khalidkhan.

    Beliau turut mengongsikan bahawa RB turut bekerjasama dengan Badan Sukarelawan Belia Brunei untuk mengagihkan derma dan pakej keperluan bulan Ramadan dan Aidilfitri kepada golongan yang kurang berkemampuan terutama sekali anak-anak yatim dan mereka yang kurang bernasib baik di keempat-empat daerah.

    Dalam kesempatan itu, Kapten Haji Khalidkhan turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada agensi kerajaan iaitu Jabatan Penerbangan Awam dan Pasukan Polis Diraja Brunei atas kerjasama memudah cara pengendalian majlis; Royal Brunei Culinary dan Savvy Restaurant atas kerjasama menjayakan majlis dan para sukarelawan belia, warga RB dan ahl-ahli jawatankuasa majlis atas usaha dan dedikasi bagi menjayakan dan menyempurnakan majlis tersebut.

    Selepas penyampaian derma, para penerima dan keluarga mereka bersama tetamu lain kemudiannya berpindah ke Boeing 787 Dreamliner RB untuk majlis bersungkai.

    Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf menyampaikan derma kepada salah seorang penerima pada majlis yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.
    Majlis bersungkai yang diadakan di dalam pesawat Boeing 787 Dreamliner RB.
    Antara kanak-kanak yang diraikan pada majlis bersungkai berkenaan.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda