Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Orang ramai akan berpeluang bersungkai sambil beramal pada acara Sungkai Amal Emperor’s Court yang akan diadakan pada 28 Mei ini.
Menerusi acara yang dianjurkan oleh Emperor’s Court dengan kerjasama Persatuan SMARTER Brunei itu, semua hasil jualan akan didermakan kepada organisasi tiada keuntungan di negara ini.
Acara sumbangan amal yang akan diadakan di Restoran Emperor’s Court, bermula 6 petang hingga 8:30 malam itu dibuka kepada orang ramai.
Sementara itu, hari ini, Pengurus Emperor’s Court, Yi Biyi bersama kakitangannya telah membuat lawatan ke Pusat Edge SMARTER di Kampung Mata-Mata dan Pusat BACA SMARTER di Kampung Sungai Hanching.
Kedatangan mereka dialu-alukan oleh Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Malai Haji Othman.

Malai Haji Abdullah menerangkan kepada rombongan Emperor’s Court mengenai fungsi dan matlamat Pusat EDGE dan BACA SMARTER serta membincangkan apa yang boleh dilakukan oleh Emperor’s Court untuk membantu pelajar SMARTER Brunei.
Beliau melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan inisiatif restoran tersebut dan buat kali pertama, SMARTER Brunei akan menerima hasil jualan daripada satu acara.
Beliau berharap orang ramai akan datang menikmati hidangan sambil mendermakan kepada sesuatu yang berfaedah terutama pada bulan suci Ramadan ini.
Manakala itu, Yi Biyi pula menyatakan bahawa ia akan menjadi peluang baik untuk mengetahui dan menghargai SMARTER Brunei.
Beliau menggesa orang ramai untuk menghadiri acara di restoran tersebut untuk sama-sama membuat sumbangan menjayakan tujuan utama dalam isu berkaitan autism.