Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersyukur atas nikmat Allah

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah bahawa cabaran berpuasa itu bukan kecil, ia memerlukan kesabaran tingkat tertinggi dan jika ada kesabaran seperti ini barulah mudah untuk menghadapi cabaran tersebut.

    Dalam titah perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, Baginda menegaskan rakyat yang beragama Islam memahami perkara berkenaan, yang menjadikan mereka tiada masalah untuk menyempurnakan ibadat puasa masing-masing.

    Baginda bertitah kewajipan kita sekarang adalah untuk bersyukur, terutama semasa berpuasa, manakala kita dikurniakan kesihatan dan rezeki, maka wajiblah dibalas dengan bersyukur.

    Syukur adalah perkara agung dan mulia, titah Baginda, dan ia dituntut oleh Allah dengan berjanji bahawa barang siapa yang mensyukuri nikmat akan ditambah lagi nikmat itu.

    Maksud syukur ialah berterima kasih kepada Allah di atas nikmatNya, caranya dengan memujiNya dengan lafaz Alhamdulillah, manakala kita berjaya menyempurnakan ibadat puasa maka wajarlah bagi kita untuk mengucapkan Alhamdulillah.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan titah sempena Hari Raya Aidilfitri, kelmarin. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    “Begitu juga kalau badan sihat dan rezeki luas serta dapat menyambut Aidilfitri dengan selesa, wajarlah untuk melafazkan Alhamdulillah sebagai pernyataan kita bersyukur atau berterima kasih kepada Allah,” titah Baginda lagi.

    Baginda seterusnya bertitah, “Lafaz Alhamdulillah sangat tinggi nilainya dan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud, ‘Sekiranya seseorang dari umatku dikurniakan dunia dengan segala isi di dalamnya kemudian dia mengucapkan Alhamdulillah, maka ucapan Alhamdulillah itu adalah lebih utama dari dunia dan segala isinya.

    Begitu harga Alhamdulillah, titah Baginda, ucapan memuji Allah sebagai tanda bersyukur selain dari ucapan, perbuatan juga boleh menjadi tanda bersyukur seperti seseorang yang menunaikan zakat, maka perbuatannya berzakat itu adalah bukti dia bersyukur, dan kerana itu Allah akan menggandakan hartanya sebagai balasan bersyukur itu.

    Dalam titah, Baginda turut menyentuh mengenai zakat, yang mana tujuan berzakat itu adalah untuk membersihkan harta kerana harta yang dizakat adalah harta berkat, dan ia bukan berkurang tetapi bertambah, dan tidak binasa tetapi selamat.

    Di samping menunaikan zakat fitrah, titah Baginda, bagi sesiapa yang mampu hendaklah bersedia untuk menunaikan zakat harta.

    “Zakat adalah wajib setelah genap haul dan menjadi syarat untuk seseorang diiktiraf sebagai beriman, sebagaimana maksud hadis Nabi SAW, ‘Barang siapa yang mahu digolongkan sebagai beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia menunaikan zakat hartanya.

    “Marilah kita sama-sama berazam untuk memenuhi tanggungjawab yang besar ini, demi keselamatan di akhirat kelak, dan juga untuk tujuan membantu golongan yang berhak serta impaknya yang lebih jauh pula untuk menjana kemakmuran umat dan negara.

    Di akhir titah perutusan, Baginda dan kerabat Baginda mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana sahaja mereka berada, dan semoga kita sama-sama beroleh kerahmatan dan perlindungan Allah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda