Sunday, July 27, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Bersyukur dengan nikmat pemerintahan raja yang adil’

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JULAI – “Kepimpinan raja adalah amanah besar dari Allah SWT. Raja yang beriman, bertaqwa, berilmu, dan berjiwa rakyat adalah raja yang membawa rahmat dan aspirasi besar kepada negara. Sebagai rakyat Brunei, kita hendaklah bersyukur atas nikmat pemerintahan beraja yang adil. Menyokong segala dasar kebajikan dan pembangunan. Dan menjadi rakyat yang bertanggungjawab, berdisiplin dan berakhlak mulia.”

    Perkara tersebut adalah antara yang dikongsikan oleh Pengarah Pusat Antarabangsa dan Perhubungan Awam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Awang Mohammad Muslihuddin Syah bin Haji Mustafa, semasa menyampaikan tazkirah Subuh bertajuk Kepimpinan Raja Aspirasi Negara dalam program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara pagi tadi.

    Program dimulakan dengan sembahyang Fardhu Subuh berjemaah seterusnya bacaan wirid dan diikuti dengan tazkirah Subuh.

    Antara lain tujuan berkenaan adalah untuk mengajak orang ramai bersama-sama hadir bagi memakmurkan masjid secara istiqamah (berterusan) dalam menunaikan sembahyang Fardhu Subuh secara berjemaah pada awal waktu.

    Ini kerana sembahyang secara berjemaah mempunyai kelebihan darjat berbanding sembahyang bersendiri.

    Program tersebut juga memberi peluang dan kemudahan kepada orang ramai meraih keberkatan dengan hadir ke masjid untuk menunaikan tuntutan sembahyang fardhu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid selepas sembahyang, sebelum memulakan aktiviti harian.

    Antara yang hadir pada program berkenaan pagi tadi. – Gambar serahan Kementerian Hal Ehwal Ugama.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda