Saturday, July 12, 2025
30.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bersyukur dikurnia nikmat keamanan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JULAI – Kita selaku rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Darussalam yang bertuah ini perlu bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana dapat menikmati suasana kehidupan yang aman, damai dan sejahtera. Oleh itu, kita hendaklah sama-sama sentiasa menjaga nikmat keamanan, nikmat kedamaian dan nikmat kesejahteraan ini dengan sebaik-baiknya.

    Janganlah lupa bahawa semua nikmat ini adalah satu ujian dan dugaan daripada Allah SWT yang bertujuan untuk menguji sejauh mana keteguhan dan kekuatan iman hamba-hambaNya. Adakah semakin beriman, semakin bertakwa dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT ataupun sebaliknya.

    Perkara berkenaan antara yang ditekankan oleh khatib dalam Khutbah Jumaat bertajuk Dirgahayu Raja Kita, hari ini dengan terus mengingatkan kepada semua bahawa Allah SWT telah menerangkan di dalam kitab suci Al-Quran bahawa kunci untuk mengekalkan nikmat-nikmat tersebut adalah dengan menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat yang telah dikurniakanNya.

    Dalam pada itu, khatib turut menyatakan sebagaimana yang kita sedia maklum, 15 Julai tahun ini genaplah 79 tahun usia raja dan ulul amri yang dikasihi dan sanjungi, iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang mana setiap tahun tarikh tersebut akan disambut dengan penuh rasa kesyukuran oleh seluruh lapisan rakyat dan penduduk negara ini.

    Jelas khatib, dengan izin Allah SWT jua dan di bawah payung kepimpinan raja yang adil lagi bijaksana, pelbagai kecemerlangan dan kemajuan negara telah dapat dicapai dan berjaya dilakarkan satu per satu.

    GAMBAR FAIL RAFI ROSLI

    Sepanjang lebih lima dekad Baginda memerintah negara, Baginda secara terus menerus menaikkan dan meningkatkan lagi kemajuan yang telah dirintis oleh paduka ayahanda Baginda dalam usaha-usaha membangun dan memajukan negara dengan berteraskan nilai-nilai Islam yang tinggi sama ada dalam bidang sosiopolitik, sosioekonomi, keagamaan, kesihatan, pendidikan, hubungan antarabangsa dan seumpamanya.

    Baginda juga merupakan seorang raja dan pemimpin yang berwawasan jauh. Impian baginda untuk pembangunan negara yang berterusan dan kesejahteraan rakyat yang sentiasa terjamin telah dizahirkan dalam Wawasan Brunei 2035.

    “Semua ini adalah satu keberuntungan bagi rakyat dan penduduk di negara ini, apabila seorang raja sentiasa memikirkan hal ehwal kebajikan rakyat dan penduduknya. Justeru, sebagai rakyat dan penduduk yang bernaung di bumi Darussalam ini, maka menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa taat dan patuh kepada raja ataupun pemimpin kita,” ujar khatib.

    Di akhir khutbah, khatib turut mengingatkan bahawa bersempena detik bersejarah, ulang tahun hari keputeraan raja yang dikasihi, dan sebagai tanda syukur dan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada raja, sama-samalah kita memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, semoga baginda dikurniakan kesihatan, keafiatan dan dilanjutkan usia, beroleh inayah dan rahmat Allah SWT serta kekal karar memerintah bumi bertuah ini.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda