Oleh Nurdiyanah R. –
TUTONG, 7 MAC – Rombongan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) dan jabatan-jabatan di bawahnya berserta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Tahun 1446 Hijrah /2025 Masihi di Daerah Tutong telah mengadakan Majlis Tadarus Al-Quran bulan Ramadan bertempat di Masjid Kampung Penapar, Mukim Tanjong Maya, kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan), KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut. Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Asar secara berjemaah dan diteruskan dengan tadarus Al-Quran.
Tadarus dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh Awang Salminan, manakala bacaan Tahlil serta Doa Selamat dipimpin oleh Bilal Tingkat II, Masjid Kampung Penapar, Tutong, Awang Muhammad Nur Hamizan bin Haji Yakub.
Majlis kemudian diteruskan dengan penyampaian derma kepada anak-anak yatim dan wakaf yang disampaikan oleh tetamu kehormat.
Turut hadir di majlis tersebut ialah timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di bawahnya serta penghulu-peng-hulu mukim, pemangku penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku-pemangku ketua kampung dan ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung (MPMK) Daerah Tutong berserta penduduk kampung sekitarnya.
Majlis tersebut diadakan bertujuan menjalinkan hubungan yang erat dalam kalangan pegawai dan kakitangan KHEDN dan jabatan-jabatan di dalamnya berserta ahli-ahli MPMK dan pemimpin akar umbi selain menyemarakkan lagi bulan suci Ramadan.