Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Bersempena dengan Hari Maritim dan Hari Pos Sedunia 2019, Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP) dan Jabatan Perkhidmatan Pos, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi telah mengadakan Majlis Bertahlil dan Doa Arwah di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Majlis berkenaan dikhususkan buat ayahanda dan bonda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit.
Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohammad Yusof.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi dan Korporat) di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim; Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Info-Komunikasi Brunei Darussalam (AITI), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak; Ketua Eksekutif PBMP, pemangku ketua pos agong, ketua-ketua jabatan dan bahagian, ahli-ahli Lembaga Pengarah MPABD serta para pegawai dan kakitangan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Majlis bermula dengan bacaan Surah Al- Fatihah dan bacaan Surah Yasin yang dikepalai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd Alim bin Haji Salim.
Majlis itu adalah sebagai salah satu acara keagamaan bagi memperingati Hari Maritim Sedunia dan Hari Pos Sedunia.
Hari Maritim Sedunia disambut oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) pada setiap Khamis minggu terakhir September dan pada tahun ini jatuh pada 26 September dengan tema ialah ‘Memperkasa Wanita dalam Masyarakat Maritim’ manakala itu, Hari Pos Sedunia disambut pada setiap 9 Oktober, oleh pengendali-pengendali pos di seluruh dunia dengan tema pada tahun ini ialah ‘Melaksanakan Pembangunan’.
