Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mei – Sempena Sambutan Ulang Tahunnya yang ke-57, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengadakan Majlis Tahlil dan Membaca Surah Yasin bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, hari ini.
Seramai 100 orang anggota bomba dan penyelamat yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota serta kakitangan di jabatan berkenaan menghadiri majlis berkenaan.
Turut hadir ialah Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Idris bin Haji Mohd Ali dan Haji Muhd Sunadi bin Haji Buntar serta Pengarah Bomba dan Penyelamat, Lt Kol (B) Awang Yahya bin Haji Abdul Rahman.

Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan seterusnya bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Ketua Guru Ugama Jabatan Bomba dan Penyelamat, Haji Adanan bin Haji Ahmad.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat, selain majlis keagamaan berkenaan, jabatan itu juga akan mengadakan aktiviti membersihkan kawasan perkuburan Islam khususnya bagi pegawai, anggota dan kakitangan di jabatan berkenaan yang telah meninggal dunia yang akan diadakan serentak di keempat-empat daerah mengikut cawangan-cawangan pada 18 Mei depan.